Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) mengumumkan penyelarasan tambang baharu berdasarkan jarak perjalanan.

Struktur tambang baharu itu akan digunakan bagi ketiga-tiga perkhidmatan -- LRT Laluan Kelana Jaya, LRT Ampang dan Monorel KL -- berkuat kuasa 2 Disember 2015.

Bagaimanapun penjimatan akan lebih dirasai buat mereka yang tinggal di luar bandar jika menggunakan kad tanpa tunai.

Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Datuk Azmi Abdul Aziz di bawah struktur tambang baharu, penumpang akan dikenakan bayaran berdasarkan jarak yang dilalui mereka.

"Di bawah struktur tambang baharu, para penumpang akan dikenakan bayaran masuk atau 'flag fall' sebanyak 70 sen dan ditambah jarak perjalanan sebenar yang didarab dengan kadar yang berpadanan.

"Kadar yang digunakan akan berkurangan semakin jauh jarak perjalanan.

"Untuk struktur tambang yang lebih adil dan konsisten, tambang sekarang akan diselaraskan kepada perkiraan berdasarkan kepada jarak perjalanan sama seperti amalan yang digunakan oleh operator rel lain di seluruh dunia," katanya kepada media di sini, hari ini.

Struktur tambang baharu yang diselaraskan itu akan menyaksikan perubahan tambang berbanding struktur kutipan tambang sebelum ini.

Serentak pengumuman itu, Prasarana turut memperkenalkan 'MyRapid Smart 7 Mingguan' dan 'My Rapid Smart 30 Bulanan' bagi mod pembayaran bukan tunai.

Ia bagi menggalakkan orang ramai berjimat menerusi struktur tambang baharu itu.

Menurut Azmi, penumpang yang menggunakan mod pembayaran bukan tunai akan menikmati diskaun untuk jarak perjalanan berbanding mereka yang membeli token untuk pembayaran tunai pada setiap perjalanan.

"Sebagai insentif tambahan, pengguna kad 'MyRapid Smart 7 Mingguan' dan 'My Rapid Smart 30 Bulanan' akan nikmati diskaun masing-masing antara 18 peratus dan 26 peratus dan antara 20 peratus hingga 35 peratus berbanding menggunakan tunai.

"Dengan pengenalan struktur tambang baharu itu penumpang untuk sektor tertentu akan sebenarnya membayar tambang lebih rendah atau sama berbanding sedia ada," katanya lagi.

Kali terakhir tambang LRT dan Monorel disemak untuk kenaikan adalah pada 2002.