Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) pada Selasa memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi menjalin kerjasama dalam bidang akademik bagi mempromosikan kejuruteraan kereta api di negara ini.

MoU lima tahun itu merangkumi bidang kerjasama dalam mengembangkan program akademik dan penyelidikan dalam bidang teknologi kejuruteraan, pengangkutan rel dan pembangunan perkongsian strategik.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Prasarana Datuk Mohamed Hazlan Mohamed Hussain berkata kepentingan Prasarana di bawah kerjasama itu akan dipacu oleh Pusat Kecemerlangan Prasarana (PACE), yang baru ditubuhkan untuk menjadi pusat kecemerlangan pengangkutan terkemuka di peringkat antarabangsa.

MoU berkenaan ditandatangani Mohamed Hazlan dan Naib Canselor UTHM Prof Dr Wahid Razzaly, yang berlangsung di Kompleks Rapid Rail Subang, di sini pada Selasa.

"Perjanjian ini akan mengukuhkan lagi bidang teknologi kejuruteraan pengangkutan, yang seterusnya menjadi perintis bidang berkenaan.

"Melalui kerjasama ini, usaha yang dilakukan bukan sahaja akan memberi tumpuan kepada program pembangunan akademik profesional, tetapi juga penyelidikan dan pembangunan," katanya dan menambah bahawa kerjasama itu merupakan yang kedua setelah MoU pertama ditandatangani pada 2012.

Mohamed Hazlan berkata antara projek bersama yang akan dilaksanakan di bawah MoU itu ialah Kemahiran Lanjutan Teknikal Metro Profesional untuk Ahli Akademik, Program Kejuruteraan Profesional dalam Keselamatan Rel dan memudahkan UTHM untuk program Sarjana dalam Kejuruteraan Kereta api serta menyediakan penempatan latihan praktikal untuk Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan dalam Pensijilan Industri Pengangkutan Rel.

Sementara itu, Wahid berkata UTHM menyambut baik kerjasama dengan peserta industri yang selaras dengan aspirasi universiti sebagai universiti teknikal utama dalam pengajaran dan penyelidikan dalam menyediakan graduannya untuk bekerja dalam persekitaran yang lebih global dengan teknologi dan pengangkutan yang mampan sebagai bidang khusus.

"Kami berbangga dapat bekerjasama dengan Prasarana. MoU ini memberi ruang kepada kami untuk bekerjasama dengan lebih erat ke arah matlamat bersama.... berusaha ke arah industrialisasi pendidikan.

"Menggabungkan keperluan industri dalam kurikulum kami yang diprogramkan bagi memastikan pelajar mendapat kelayakan dan pengiktirafan yang relevan dan, sebagai hasilnya, industri mendapat graduan berkelayakan sebagai pekerja, dan dalam hal ini, ahli teknologi kejuruteraan masa depan untuk negara serta pasaran global," katanya.