KOTA KINABALU:Premis perniagaan menjual makanan dan minuman seperti restoran di Sabah dibenar beroperasi sehingga pukul 10 malam sahaja dan bukannya 12 tengah malam.

Bagaimanapun, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, mana-mana premis perniagaan yang ingin beroperasi sehingga 12 tengah malam boleh memohon kebenaran sebelum dinilai oleh pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana COVID-19.

"Buat masa ini bagi negeri Sabah, premis perniagaan dibenarkan beroperasi sehingga pukul 10 malam di kawasan PKPB.

"Walaubagaimanapun pemilik-pemilik premis perniagaan boleh memohon kebenaran beroperasi sehingga jam 12 tengah malam dan kita akan nilai permohonan tersebut," katanya menerusi sidang media maya di Kota Kinabalu pada Isnin.

Terdahulu dalam sidang media harian Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri mengumumkan waktu operasi premis perniagaan di kawasan PKPB dibenarkan sehingga pukul 12 tengah malam.

Sehingga Isnin jumlah kes positif baharu COVID-19 di negeri ini adalah sebanyak 289 kes dan jumlah kumulatif ialah sebanyak 23,482 kes. 

"Dua kes kematian dicatatkan iaitu masing-masing satu kes di Hospital Duchess Of Kent, Sandakan dan Hospital Likas, Kota Kinabalu. 

"Daripada 289 kes positif COVID-19 hari ini, sebanyak 135 kes adalah dari Kota Kinabalu, Sandakan, Lahad Datu dan Tawau yang berpunca dari saringan kontak rapat," katanya.