Pemilik premis perniagaan boleh dikenakan kompaun sehingga RM250 jika tidak mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera negeri Pahang di premis mereka sempena Bulan Kebangsaan.

Menurut Pegawai Perhubungan Awam Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Norkamawati Kamal, pemilik premis diberi tempoh sehingga esok (Rabu) sebelum penguat kuasa MPK menjalankan operasi.

"MPK mensyaratkan premis perniagaan mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera negeri serta memberi pencahayaan sempena sambutan bulan kemerdekaan pada 15 Ogos hingga 16 September 2019.

" (Ia) berdasarkan Pekeliling Pelesenan Bil 10/2019 - Pengibaran Jalur Gemilang dan Bendera Negeri Pahang sempena Sambutan Hari Kemerdekaan Ke-62 Tahun 2019 Peringkat Negeri Pahang.

"Kegagalan pemilik premis mengibarkan Jalur Gemilang boleh dikenakan kompaun di bawah Seksyen 107(2) Akta Kerajaan Tempatan kerana melanggar syarat lesen seperti mana syarat-syarat am yang tertera di belakang setiap lesen premis perniagaan," katanya dalam satu kenyataan media.