Presiden MIC Datuk Seri Dr S. Subramaniam dan tujuh yang lain boleh meneruskan usaha untuk membuat rayuan di Mahkamah Persekutuan terhadap perintah Mahkamah Rayuan dalam meremitkan suatu tuntutan mahkamah yang difailkan terhadap mereka, kepada Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan penuh.

Saman sivil itu berhubung dakwaan konspirasi bagi menjatuhkan bekas presiden Datuk Seri G. Palanivel.

Tiga panel Hakim Mahkamah Persekutuan bersidang yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tan Sri Md Raus Sharif hari ini membenarkan Dr. Subramaniam dan tujuh yang lain untuk merayu kepada mahkamah yang lebih tinggi.

Tujuh pemohon yang lain ialah Ketua Pengarah Pendaftar Pertubuhan Malaysia (RoS) Datuk Mohamad Razin Abdullah, pegawai RoS Akmal Yahya, Datuk S. Vigneswaran, Datuk Jaspal Singh, Datuk T. Mohan, A Sakthivel, dan peguam V. Vasanthi.

Hakim Raus berkata perkara itu memerlukan pihak berkenaan untuk berhujah di hadapan Mahkamah Persekutuan dalam lima persoalan undang-undang.

Turut bersidang bersama beliau ialah Hakim Besar Malaya Tan Sri Ahmad Maarop dan Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Azahar Mohamed.

Antara persoalan undang-undang itu adalah sama ada locus standi (kedudukan undang-undang) bukan satu faktor dalam sesuatu tindakan yang diambil untuk mempersoalkan penghakiman menurut seksyen 44 Akta Keterangan 1950.

Peguam Datuk Seri Gopal Sri Ram yang mewakili Dr Subramaniam berhujah bahawa tafsiran Mahkamah Rayuan mengenai Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966 menghasilkan satu pengecualian kepada suatu keputusan ''non-justiciability'' yang dibuat parti politik.

Pada 5 Feb tahun lepas, bekas pengarah strategik MIC K. Ramalingam dan tujuh yang lain memulakan saman sivil ke atas Dr Subramaniam dan tujuh yang lain berhubung dakwaan konspirasi untuk menjatuhkan Palanivel pada 2015.

Selain Ramalingam, turut disenaraikan sebagai plaintif ialah V. Ganesh, Datuk Henry Benedict Asirvatham, M. Sathiyamurthi, George Alexander Fernandez, R.M. Prabu, R. Sithambaram Pillay dan Datuk M.V. Rajoo.

Mereka menuntut untuk mengetepikan penolakan dua permohonan semakan kehakiman pada 15 Jun, 2015 mencabar arahan RoS supaya MIC mengadakan pemilihan semula bagi semua jawatan dalam parti.

Bagaimanapun, hari ini panel hakim Mahkamah Persekutuan yang sama menggugurkan lima daripada plaintif itu sebagai pihak dalam saman itu -- Ganesh, Sathiyamurthi, George Alexander, Prabu dan Sithambaram -- selepas mereka memohon untuk tidak meneruskan tindakan itu. Peguam mereka David Mathews memaklumkan kepada mahkamah mengenai pemberhentian tindakan itu dan dengan itu tinggal tiga plaintif.

Pada 11 Julai tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan Dr Subramaniam dan pemohon yang lain untuk membatalkan saman itu yang mendorong plaintif untuk merayu kepada Mahkamah Rayuan.

Pada 10 Jan tahun ini, Mahkamah Rayuan membuat keputusan yang memihak kepada Ramalingam dan plaintif yang lain, mengubah keputusan Mahkamah Tinggi dan memerintahkan perkara itu untuk diadakan perbicaraan penuh.

Dr Subramaniam dan tujuh yang lain kemudiannya memfailkan kebenaran untuk merayu di Mahkamah Persekutuan.

Peguam kanan Persekutuan Datuk Amarjeet Singh yang mewakili Mohamad Razin dan Akmal berhujah bahawa isu locus standi adalah relevan memandangkan Mahkamah Tinggi telah memutuskan plaintif tidak mempunyai locus standi untuk memfailkan saman itu kerana mereka tidak lagi menjadi anggota MIC.

Peguam Datuk V. Manokaran mewakili Ramalingam, Henry Benedict dan Rajoo manakala peguam Ho Hon Keong mewakili Jaspal Singh, Mohan dan Sakthivel dan peguam Datuk Kamarul Hisham Kamaruddin mewakili Vigneswaran dan Vasanthi.

-- BERNAMA