Semua pusat-pusat mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong ditutup tepat jam 5:30 petang tadi.

Menurut kenyataan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), dianggarkan sebanyak 43 peratus pengundi berdaftar hadir menunaikan tanggungjawab mereka.

Setiausaha SPR Datuk Mohamed Elias dalam sidang media tengahari tadi berkata, keputusan akan diumumkan malam nanti.

"Kami jangkakan keputusan akan diumumkan antara jam 9 ke jam 10 malam nanti," katanya.

Semua peti-peti undi akan di bawa ke Pusat Penjumlahan Undi di Dewan Utama Demesne Pejabat Daerah dan Tanah Hulu langat.

PRK DUN Balakong hari ini menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan Wong Siew Ki dan calon MCA Tan Chee Teong.

Kerusi DUN Balakong kosong susulan kematian penyandangnya Eddie Ng Tien Chee yang meninggal dunia pada 20 Julai lalu dalam kemalangan jalan raya

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Mei lalu, Eddie menang besar dengan majoriti 35,538 undi, mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) dan PAS.