Seramai 50,692 pemilih berdaftar bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia dan 62,160 pengundi di kawasan DUN Balakong akan menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat baharu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) hari ini selepas 21 hari berkempen.

Pusat mengundi akan dibuka mulai jam 8 pagi sehingga jam 5.30 petang.

Bagi DUN Seri Setia, sebanyak 18 pusat mengundi dengan 115 saluran disediakan manakala DUN Balakong membabitkan enam pusat mengundi dengan 129 saluran.

Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan cuaca pada sebelah pagi di Seri Setia hujan manakala di sebelah petang diramalkan cerah.

Sementara di Balakong, cuaca diramalkan mendung pada sebelah pagi namun cerah pada sebelah petang.

PRK berkembar ini merupakan PRK kedua yang dijalankan sejak Pilihan Raya Umum ke-14 Mei lepas.

PRK pertama berlangsung di Sungai Kandis, yang juga DUN di negeri Selangor pada 4 Ogos lalu.