Sebanyak 53,411 pengundi biasa di Semenyih akan menunaikan hak mereka untuk memilih wakil rakyat baharu hari ini, selepas kematian penyandangnya wakil Pakatan Harapan (PH) Bakhtiar Mohd Nor daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), pada 11 Jan lalu akibat serangan jantung.

Pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih menyaksikan pertandingan antara calon PH Muhammad Aiman Zainali, Zakaria Hanafi (BN), Nik Aziz Afiq Abdul (PSM) dan calon Bebas Kuan Chee Heng atau lebih dikenali sebagai 'Uncle Kentang'.

Ia PRK keempat bagi Selangor sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada Mei lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menasihati pengundi bagi PRK DUN Semenyih supaya keluar awal menunaikan tanggungjawab mereka.

Ini menurut Setiausaha SPR Datuk Mohamed Elias Abu Bakar, berikutan keadaan cuaca sejak beberapa hari ini yang sering hujan pada sebelah petang.

"Kita (SPR) nasihatkan para pengundi supaya keluar lebih awal dan jangan tunggu sehingga petang kerana kemungkinan hujan.

"Itu akan menjejaskan keselesaan mereka untuk mengundi," katanya ketika meninjau persiapan terakhir bagi proses pengundian di Pusat Mengundi, Sekolah Kebangsaan Bandar Sunway Semenyih, pada Jumaat.

SPR turut menasihati pengundi supaya tidak lupa membawa Kad Pengundi - inisiatif baharu SPR - dan kad pengenalan masing-masing untuk mengundi.

Pada PRU14, Allahyarham Bakhtiar menewaskan tiga calon lain - Datuk Johan Abd Aziz (BN), Mad Shahmidur Mat Kosim (PAS) dan S. Arutchelvan (PSM) dengan majoriti 8,964 undi.

Bakhtiar, yang juga Ketua Bahagian Bersatu Hulu Langat, memperoleh 23,428 undi.

DUN Semenyih mempunyai 54,503 pemilih berdaftar termasuk 951 pengundi awal dan 32 pengundi tidak hadir luar negara.

Undian awal telah berjalan pada 26 Feb lalu.