"Kapal belayar di waktu malam, mari menuju lautan dalam;
Kalau nakhoda yang faham, di situ kapal tenggelam."

Itulah jawapan ala pantun yang diberikan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin ketika menjawab pertanyaan media mengenai kes yang kini dihadapinya di mahkamah.

Katanya, perbicaraan kes mahkamah berkaitan, berhubung pelaburan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan Berhad (Felcra) baru-baru ini, sedikit pun tidak melenturkan semangatnya untuk terus beraksi dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis.

Bahkan, menurut Bung, kes dihadapinya di mahkamah tidak akan menimbulkan sebarang persepsi negatif terhadap calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mohamad Alamin.

Malah, katanya, ia akan memberi semangat kepada dirinya dan juga jentera parti untuk mempertahankan kerusi Parlimen P176 itu.

"Tiada kebimbangan, sebab saya sudah biasa, saya sudah redha, tekad, tawakal bahawa Allah tidak akan menyusahkan orang yang tidak berdosa, InsyaAllah," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas berceramah dalam kempen pilihan raya BN di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Mandahan, Bongawan, malam tadi.

Sementara itu, mengulas mengenai keberkesanan Muafakat Nasional yang kini diusahakan UMNO, BN dan juga PAS, Bung berpendapat ia akan membuahkan hasil di Sabah.

Tambahnya, pihak pembangkang tempatan lain seperti PBS dan STAR turut dijangka bersama-sama BN untuk turun berkempen dalam usaha memperhebatkan jentera parti.

"Ini telah diterima pakai. Di Sabah pun tidak ada masalah, sebab itu kita diberi autonomi.

"Kita boleh berpakat mana-mana. Sebab itu PBS akan turun membantu, STAR akan turun membantu, dan mana-mana pihak pembangkang di Sabah juga akan turut membantu," katanya.