UMNO tidak boleh menghalang mana-mana individu untuk bertanding sebagai calon Bebas dalam pilihan raya kerana parti itu berpegang kepada amalan demokrasi.

Namun, anggota UMNO yang setia dan patuh kepada parti tidak tergamak untuk berbuat demikian, kata Menteri Besar Perak Datuk Seri Zambry Abd Kadir hari ini.

Zambry yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak mengulas kenyataan penolong setiausaha Pemuda UMNO Cawangan Taman Cempaka di Selangor, Syed Rosli Syed Harman Jamalullail yang mahu bertanding sebagai calon Bebas menentang calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar bulan depan.

"Jika dia anggota UMNO, sudah pasti dia tidak akan bertanding sebagai calon Bebas sebab orang UMNO tahu dengan keputusan kita yang telah menamakan calon sesuai untuk bertanding pada PRK berkenaan," katanya kepada pemberita di sini.

Terdahulu, beliau menyampaikan sumbangan Ramadan kepada 24 UMNO Bahagian negeri Perak sempena program jelajah Turun Padang Bantu Rakyat anjuran Biro Kebajikan UMNO.

Di KUALA KANGSAR, Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid turut memberi pendapat sama bahawa sebagai negara demokrasi, sesiapa sahaja boleh menawarkan diri untuk bertanding dalam mana-mana pilihan raya.

"Kebetulan ada PRK, dia (Syed Rosli) pun buat kenyataan mahu jadi calon. Kita tengoklah nanti," katanya menyatakan keyakinannya bahawa BN mampu mengekalkan kerusi Parlimen Kuala Kangsar.

Hari ini, sebuah portal melaporkan Syed Rosli mengambil keputusan itu kerana kecewa dengan tindakan BN menamakan Datin Mastura Mohd Yazid, balu Anggota Parlimen Kuala Kangsar Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad, sebagai calon bagi PRK Kuala Kangsar.

PRK Kuala Kangsar diadakan berikutan kematian Wan Mohammad Khair-il Anuar dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak, 5 Mei lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRK Parlimen Kuala Kangsar pada 18 Jun, manakala penamaan calon pada 5 Jun ini.