Tutup

PRK Port Dickson ujian pertama sebagai pengerusi SPR baharu

PRK Port Dickson ujian pertama sebagai pengerusi SPR baharu
Azhar Azizan Harun menyifatkan PRK Parlimen Port Dickson sebagai ujian pertamanya selepas mengetuai badan tersebut. -Foto Astro AWANI
PUTRAJAYA: Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang baharu Azhar Azizan Harun menyifatkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson sebagai ujian pertamanya selepas mengetuai badan tersebut.

Azhar yang lebih dikenali sebagai Art Harun berkata beliau akan memastikan perjalanan PRK Port Dickson itu berjalan dengan bersih dan adil sepertimana termaktub dalam undang-undang negara.

Katanya, PRK Port Dickson mendapat perhatian dari dalam dan luar negara kerana personaliti yang bertanding di kawasan Parlimen itu.

"Port Dickson hanyalah pilihan raya kecil yang biasa, tetapi disebabkan personaliti yang bertanding ia mendapat perhatian dari dalam dan luar negara.
"Saya berhasrat untuk menjadikan pilihan raya kecil Port Dickson ini bersih dan adil biarpun baru memulakan tugas sebagai pengerusi," katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat SPR, di sini, hari ini.

Mengulas mengenai usaha penambahbaikan pilihan raya di negara ini, Azhar menjelaskan beliau akan mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Jawatankuasa Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC), Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman dalam masa terdekat.
"Saya berjumpa dengan Pengerusi Jawatankuasa Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC), Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman dalam masa terdekat berhubung usaha penambahbaikan pilihan raya di negara ini.

"Langkah ini bukan menunjukkan SPR tidak baik, tetapi sekiranya ada penambahbaikan, ia perlu dilakukan," katanya lagi.


Terdahulu, Azhar memulakan tugasnya sebagai Pengerusi SPR yang baharu.

Ketibaan Azhar pada pukul 9 pagi disambut Timbalan Pengerusi SPR, Tan Sri Othman Mahmood, Setiausaha SPR, Datuk Mohamed Ellias Abu Bakar dan ahli-ahli SPR.

Sebelum ini, Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr. Ismail Bakar memaklumkan pelantikan Azhar diperkenan Yang di-Pertuan Agong mengikut Fasal (1) Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan dan pelantikan sebagai Pengerusi SPR itu dibuat selaras dengan Fasal (3) Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan.

Pada 13 Jun lalu, SPR memaklumkan Tan Sri Mohd. Hashim Abdullah akan memendekkan tempoh perkhidmatan sebagai Pengerusi SPR berkuat kuasa 1 Julai.



Tag: Malaysia, SPR, Azhar Azizan Harun, Azhar Harun, Art Harun, Pengerusi SPR, pilihanraya



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.