Tindakan parti politik yang didakwa menggunakan kanak-kanak untuk berkempen di Pilihan Raya Kecil Rantau perlu dirujuk di bawah Akta Perlindungan Kanak-Kanak 2001, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Azizan @ Harun.

Menurut Azhar, beliau tidak boleh mengulas panjang memandangkan pihak SPR tidak menerima sebarang laporan atau maklumat mengenai kejadian itu.

"Saya tak tahulah kalau di bawah Akta Perlindungan Kanak-Kanak, ia merupakan satu kesalahan (berkempen guna kanak-kanak), saya kurang pasti," katanya pada sidang media di Menara SPR, di sini hari ini.

Azhar berkata demikian menjawab soalan wartawan berhubung penularan beberapa keping gambar di media sosial menunjukkan kempen calon Pakatan Harapan (PH) pada PRK DUN Rantau menggunakan sekumpulan kanak-kanak.

Difahamkan, perkara itu berlaku semasa berlangsungnya ceramah politik parti Pakatan Harapan, semalam.

Ditanya berhubung masih ada lagi parti politik yang dilihat mengamalkan pemberian makanan terutama mengadakan kenduri-kendara ketika berkempen, Azizan berkata kenyataan mengenai larangan terhadap perkara itu telah banyak kali dibuat.

Katanya, larangan itu jelas kerana kesalahan tersebut disenaraikan di bawah Seksyen 8 Akta Kesalahan-kesalahan Pilihan Raya.

"Mengenai kenduri-kendara itu, saya dah buat kenyataan yang banyak mengenai kesalahan pilihan raya yang dinamakan 'treating' di bawah Seksyen 8 Akta Kesalahan-Kesalahan Pilihan Raya.

"Jadi tak perlulah saya ulang dah banyak kali saya nyatakan perkara tersebut.

"Saya syorkan kepada pihak media kalau ingin ketahui lebih lanjut berkenaan Seksyen 8 ini, perlu ditemu duga peguam-peguam yang terkenal mengenai skop Seksyen 8 itu," kata Azhar.