Kesemua 14 pusat pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau ditutup tepat pukul 5.30 petang ini sejak ia dibuka pada 8.00 pagi tadi.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), peratusan pengundi keluar mengundi setakat pukul 4.00 petang ialah 74 peratus.

Sejurus selepas pusat pengundian ditutup, kesemua peti undi daripada 53 saluran akan dibawa pusat penjumlahan undi di Dewan Serbaguna Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bandar Sri Sendayan, di sini untuk pengiraan undi dan keputusan dijangka diumumkan pada pukul 10 malam.

PRK itu menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon Pakatan Harapan (PH), pakar bius Dr S. Streram, 60, calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan yang juga bekas menteri besar Negeri Sembilan, 63, dan dua calon Bebas iaitu suri rumah R. Malarvizhi, 51, serta bekas pensyarah Mohd Nor Yassin, 67.

Dr Streram mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Rantau manakala Mohamad dan Malarvizhi berbuat demikian di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Chung Hua, pagi tadi.

Manakala Mohd Nor bukan pengundi kawasan DUN berkenaan.

DUN Rantau dengan keluasan 15,960.74 hektar, mempunyai 20,926 orang pemilih berdaftar terdiri daripada 20,804 pengundi biasa, empat orang pengundi tidak hadir luar negara dan selebih 118 pengundi awal.

Daripada jumlah itu, 55.51 peratus atau 11,615 adalah pengundi Melayu, Cina (18.46 peratus atau 3,863), India (26 peratus atau 5,441) dan lain-lain (0.03 peratus atau tujuh orang).

PRK DUN Rantau adalah PRK ketujuh diadakan selepas PRU14 pada 9 Mei 2018, dengan yang pertama diadakan di DUN Sungai Kandis pada 4 Ogos, DUN Balakong dan DUN Seri Setia (8 Sept), Parlimen Port Dickson (13 Okt), Parlimen Cameron Highlands (26 Jan) serta DUN Semenyih (2 Mac).

-- BERNAMA