Langkah merancakkan lagi ekonomi di Rantau menjadi antara permintaan pengundi dalam tempoh berkempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.

Peluang pekerjaan yang dikatakan terhad sekali gus menyukarkan penduduk terutamanya golongan muda yang baru hendak memasuki alam pekerjaan.

Seorang remaja, Muhd. Afiq Muq’ri Azman, 19, merasai sukarnya untuk mendapatkan pekerjaan biarpun sudah beberapa kali menghadiri sesi temuduga.

“Bagi saya masa kini peluang pekerjaan amat kurang terutamanya bagi remaja yang baru habis sekolah atau lepasan daripada kolej.

“Bila hendak minta kerja, mereka kata tempat sudah terhad. Jadi kenalah lakukan penambahbaikan dalam sektor pekerjaan supaya kami golongan muda dapat belajar berdikari,” jelasnya.


Dalam pada itu, seorang peniaga, Hamidah Abdul Rahman, 43, berharap agar mana-mana pihak yang bakal mentadbir kawasan Rantau memandang serius isu kekurangan pekerjaan.

“Pekerjaan itu penting untuk orang orang muda, jadi bantu mereka supaya lebih dekat dengan keluarga. Jadi orang tua tua tak adalah terbiar.

“Kalau macam sektor sektor perkilangan, banyak kawasan di Rantau ini luas.

“Saya harap ada kawasan yang boleh dibangunkan untuk sektor perkilangan, jadi tak payah anak-anak muda keluar dari sini,” ujarnya.

Faktor kekurangan peluang pekerjaan disuarakan oleh penduduk di Rantau menerusi tinjauan Astro AWANI menjelang tempoh berkempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.

Penduduk meletakkan harapan agar suara mereka didengari oleh pucuk pimpinan pemerintah yang bakal mentadbir pekan kecil itu.

PRK Rantau menyaksikan pertembungan empat calon dalam merebut kerusi DUN Rantau iaitu daripada Barisan Nasional, Datuk Seri Mohamad Hasan, Dr. S. Streram (Pakatan Harapan) serta dua calon Bebas, Mohd. Nor Yassin dan R. Malarvizhi.