Satu-satunya calon Bebas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, Kuan Chee Heng menyeru penduduk setempat mendapatkan khidmat beliau sekiranya berdepan masalah.

Kuan berkata tujuan beliau bertanding bukanlah untuk mendapat pengaruh politik, tetapi demi meneruskan aktiviti kemasyarakatan yang telah dimulakan sejak beberapa tahun lalu.

Kuan yang juga mesra dipanggil “Uncle Kentang” diberi jolokan itu selepas beliau mengedarkan kentang secara percuma kepada penduduk miskin di Semenyih.

“Sesiapa yang ada masalah, silalah datang berjumpa saya. Saya di sini bukanlah hendak bertanding semata tetapi sebab mahu menolong.

“Yang paling asas adalah mereka yang lapar dan sakit, sila jumpa saya. Mereka ini selalu terbiar.

“Ramai yang sakit tapi tidak ada duit untuk ke hospital. Ramai di Semenyih, terutama di kawasan Beranang, yang susah dah berlapar," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyerah borang pencalonan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), di sini, pada Sabtu.


Pegawai Pengurus PRK Semenyih, Datuk Mohd Sayuthi Bakar pada pagi Sabtu mengumumkan pertandingan empat penjuru bagi PRK Semeyih yang akan diadakan pada 2 Mac ini.

Pakatan Harapan (PH) memperkenalkan calon baharu, Muhammad Aiman Zainali yang juga merupakan menantu kepada penyandang DUN Semenyih, Bakhtiar Mohd Nor yang meninggal pada 11 Jan lepas akibat serangan jantung.

Calon Barisan Nasional (BN) pula adalah anak tempatan iaitu Zakaria Hanafi yang merupakan bekas Penolong Pegawai Tadbir Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Seorang lagi calon adalah daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM) iaitu Nik Aziz Afiq Abdul.

Pengundian awal PRK DUN Semenyih ditetapkan pada 26 Feb manakala hari pengundian pada 2 Mac.