Dua belas hari berpanas dan berhujan telah diharungi dan segala pelusuk kampung, batas-batas sawah padi, pasar-pasar, gerai-gerai makanan dan kawasan pesisir pantai telah dijelajahi.

Kini perhitungan dua calon yang bakal memegang tanggungjawab sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Limau untuk sepenggal lagi bakal terjawab apabila 27,222 pengundi berdaftar akan keluar membuang undi hari ini dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Limau.

Gelanggang yang dibuka pasca Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) berikutan kematian penyandangnya yang juga mantan Menteri Besar Kedah dari tahun 2008 hingga 2013, Tan Sri Azizan Abdul Razak pada 26 September lalu akibat komplikasi kencing manis dan masalah jantung akan menemukan calon Barisan Nasional (BN), Dr Ahmad Sohaimi Lazim, 52, dengan Mohd Azam Abd Samat, 37, dari Parti PAS.

Sebaik sahaja proses penamaan calon tamat pada 23 Oktober lalu, kempen pilihan raya kian galak dijalankan dengan pelbagai cara termasuklah sesi bertemu rakyat, sembang kedai kopi, acara suka rakyat dan juga ceramah.

DUN Sungai Limau mempunyai keluasan 14,740.18 hektar dan merangkumi Mukim Sala Besar, Sungai Daun dan Dulang. Bentuk muka bumi disini juga dipenuhi dengan bendang sawah padi.

Oleh disebabkan petempatan penduduk disini agak berserakan dan banyak bertumpu di kawasan penanaman sawah padi, jentera-jentera dari kedua parti terpaksa dipecah-pecahkan agar tujuan melobi pengundi disini dapat tercapai dalam meraih sokongan mereka dalam pilihan raya ini.

Seperti yang dijangka, BN dilihat menggunakan sebaik mungkin jentera-jentera pilihan rayanya termasuklah dengan 'menurunkan' pelbagai kementerian dan jabatan ke daerah ini dan menganjurkan pelbagai program yang berteraskan bantuan kepada masyarakat.

Malah kehadiran berulang-ulang kali, Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Presiden UMNO dan beberapa menteri ke Sungai Limau sekurang-kurangnya mampu melakukan perubahan pembangunan kepada daerah ini.

Walaupun Sungai Limau disifatkan sebagai kubu kuat PAS sejak tahun 1995, Dr Sohaimi tetap gigih menyelongkar segenap pelusuk kawasan ditemani jenteranya dalam memastikan pengundi-pengundi disini sekali lagi memilih BN.

Pelbagai janji, wang, dan projek pembangunan seperti peruntukan pertanian, perumahan, penambahan kelas-kelas pembelajaran di sekolah telah direncanakan.

Malah, janji Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) untuk membanteras kegiatan pencerobohan nelayan laut dalam dari Kuala Kedah yang begitu membelenggu nelayan kecil Kampung Kuala Dulang Kechil sedikit sebanyak memberi kelegaan kepada penduduk kampung.

Cumanya, BN terpaksa juga memberi penerangan dengan lebih lanjut kepada penduduk disini mengenai isu kenaikan harga minyak dan barang, GST dan pemansuhan subsidi gula yang telah diumumkan pada pembentangan Bajet 2014 yang kian digunakan oleh pembangkang dalam meraih sokongan mereka.

Sementara itu, di kem PAS juga, mereka tidak mahu ketinggalan dalam sesi kempen mereka dan platform ceramah-ceramah yang menggabungkan ahli-ahli politik dan selebriti dari gabungan Pakatan Rakyat seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim, Nurul Izzah Anwar, Tian Chua, Abby Abadi, Aisyah dan lain-lain lagi

Isu GST, pemansuhan subsidi, kenaikan harga minyak dan isu kalimah Allah menjadi pertaruhan mereka dalam menghentam kerajaan di setiap ceramah mereka sepanjang malam tempoh berkempen.

Harapan untuk melihat kempen ‘politik berhemah’ seperti yang dicanangkan oleh kedua-dua parti juga nampaknya tidak kesampaian apabila bermula dengan isu gambar calon PAS, Mohd Azam yang di'super impose' dari sebuah foto milik akhbar Sinar Harian dalam risalah kempen mereka, diikuti isu 'susu basi' yang didakwa ditemui dalam beberapa bungkusan bantuan BN Bahagian Baling dikawasan petempatan Sungai Dedap.

Isu ini turut berlanjutan apabila Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu ucapan di satu majlis mengaitkan kematian Tan Sri Azizan dengan pemansuhan subsidi gula yang dikatakan penyebab kaki Allahyarham terpaksa dipotong.

Atas tekanan dan desakan ramai pihak terutama PAS, Muhyiddin kemudiannya memohon maaf secara terbuka.

Paling terbaru adalah kemunculan beberapa kaki patung yang kononnya ‘dipotong’ dan tertera ‘kaki ustaz’ yang digantung berhampiran pusat-pusat jentera BN sekitar Sungai Limau.

PAS turut mempunyai masalah dalamannya sendiri apabila calonnya, Mohd Azam merupakan insan yang berada dibawah kem bekas Timbalan Pesuruhjaya PAS, Datuk Ir Pharolrazi Zawawi yang pernah didakwa cuba menjatuhkan Tan Sri Azizan ketika Kedah dibawah pemerintahan PAS.

Apa yang diharapkan adalah, para pengundi dapat membuat keputusan bijak dalam pilihan raya esok dan kuasa penentu terletak di tangan pengundi.