Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan Mesyuarat Khas pada Selasa 1 Oktober bagi membincangkan tarikh-tarikh penting berkaitan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen P.165 Tanjung Piai, Johor.

Menerusi satu kenyataan, Setiausaha SPR, Datuk Mohamed Elias Abu Bakar berkata mesyuarat tersebut akan diadakan pada jam 10 pagi di ibu pejabat SPR dan akan dipengerusikan Pengerusi SPR, Datuk Azhar Azizan Harun.

“Mesyuarat Khas tersebut akan dipengerusikan Datuk Azhar Azizan Harun yang akan membincangkan tarikh-tarikh penting PRK seperti tarikh Writ Pilihan Raya, Hari Penamaan Calon, Hari Pengundian, Daftar Pemilih yang akan digunakan dan persiapan lain yang diperlukan bagi melaksanakan pilihan raya tersebut.

“Satu sidang media akan diadakan selepas mesyuarat itu,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Mohamed Elias berkata SPR telah menerima pemakluman rasmi mengenai kekosongan luar jangka kerusi parlimen tersebut susulan pemergian penyandangnya, Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik pada 21 September lalu.


Allahyarham yang juga merupakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dilaporkan meninggal dunia akibat serangan jantung di Hospital Pontian.

BACA: PH perlu pertahankan kerusi Tanjung Piai - Loke

BACA: PRK Tanjung Piai: UMNO bincang dulu dengan rakan komponen

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Allahyarham yang bertanding atas tiket PKR menang dengan undi 21,255 selepas mengalahkan calon dari Barisan Nasional (BN) dan Pas.