Warga emas mengambil kesempatan menunaikan tanggungjawab mengundi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 hari ini.

Tinjauan Astro AWANI di SK Serusup di sini sejak pukul 7.30 pagi mendapati, rata-rata golongan berusia ini hadir ke pusat mengundi dengan ditemani ahli keluarga.

Turut kelihatan, petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memakai peralatan perlindungan diri (PPE) bagi membawa warga emas yang berkerusi roda dari awal hingga selesai pengundian dalam keadaan cuaca yang baik dan cerah.

Bagi warga emas dan orang kelainan upaya (OKU), SPR menyediakan kad mengundi bagi memudahkan urusan pengundian tanpa perlu menunggu lama.

Salah seorang pengundi yang ditemui, Malah Siatin, 73 tahun, berkata, dia datang bersendirian dan mahu menunaikan tanggungjawab sebagai warga Sabah.

Malah yang memakai pelitup muka juga melahirkan rasa janggal kerana selama ini tidak pernah mengenakan topeng sebegitu sepanjang mengundi pada pilihan raya umum sebelum ini.

“Kita pakai pelitup muka, ada cecair pembasmi kuman, semua prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 dilaksanakan.

“Baguslah begini, untuk pastikan tiada penularan wabak itu di sini,” katanya kepada Astro AWANI.

Pada PRN kali ini, seramai 2,207 daripada 11,711 pengundi yang layak mengundi di DUN Sulaman terdiri daripada mereka yang berumur 60 tahun ke atas.

Ikuti LAPOR LANGSUNG: Hari Penentuan di Sabah

Ikuti juga perkembangan terkini PRN Sabah ke-16 di astroawani.com