Ubat tradisional Cina, Tanreqing (TRQ) yang mengandungi hempedu beruang matahari tidak menjejaskan spesies beruang itu seperti apa yang dilaporkan sebelum ini.

Jelas Pengerusi Bersama IUCN Bear Specialist Group (BSG), David L. Garshelis, penggunaan hempedu haiwan itu dalam rawatan COVID-19 di Beijing adalah sah di sisi undang-undang kerana produk itu menggunakan hempedu beruang yang diternak di China dan bukan beruang yang diperoleh secara pemburuan haram.

“Kekeliruan berlaku apabila ramai beranggapan bahawa kelulusan TRQ bagi tujuan perubatan dikatikan dengan penyeludupan haiwan liar.

“Namun secara kenyataan, produk ini dihasilkan oleh beruang dalam ternakan di mana spesies haiwan itu turut dipelihara melalui proses ternakan di ladang yang didaftar dengan kerajaan China,” ujar Garshelis.

Menurut Garshelis, produk jenis ubat tradisional Cina itu tidak boleh dijual di luar negara China, dan hanya boleh dijual setelah memperolehi kebenaran kerajaan.

Sebelum ini, wujud tanggapan bahawa akan berlaku ancaman pemburu haram terhadap beruang matahari termasuk di Sarawak susulan tindakan Beijing meluluskan penggunaan hempedu haiwan itu dalam rawatan COVID-19.

BACA: Beruang matahari Malaysia terancam susulan China lulus penggunaan hempedu rawat COVID-19

Dalam perkembangan berkaitan, Garshelis turut menjelaskan keberkesanan penggunaan pengganti sintetik hempedu beruang madu, ursodeoxycholic acid (UDCA) atau dikenali sebagai Urso yang dihasilkan daripada khinzir dan ayam sembelih.

“Seorang kanak-kanak di Amerika Syarikat telah diselamatkan oleh kerana rawatannya yang menggunakan Urso dan kini kehidupannya bergantung kepada ubat itu,” katanya.

Tambah beliau lagi, penggunaan organ haiwan untuk tujuan perubatan tertakluk kepada etika serta budaya sesuatu negara serta individu.

"Bukan peranan saya untuk menjawab soal etika, mengenai penggunaan beruang untuk menghasilkan ubat dalam membantu krisis manusia. Namun, menjadi tugas saya untuk memberi fakta bagi menjawab salah faham, terutamanya tentang kaitan penggunaan ubat ini dan impak terhadap konservasi beruang," jelas Garshelis.

Untuk rekod, setakat ini, masih tiada kajian yang mengatakan keberkesanan penggunaan produk hempedu beruang dalam rawatan pesakit COVID-19.