Hampir RM1.2 juta nilai rampasan produk kosmetik dan kesihatan berbahaya dirampas Cawangan Penguatkuasaan Farmasi Negeri Kelantan sepanjang tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, menurut Pengarah Kesihatan Kelantan, Dr Zaini Hussin.

Dr Zaini berkata rampasan melibatkan 1,299 barangan yang dijual di pasaran sama ada melalui atas talian atau runcit.

Rampasan tersebut adalah hasil 25 serbuan yang dijalankan di 53 premis perniagaan, rumah, butik kecantikan dan sebagainya.

“534 barangan melibatkan produk tidak berdaftar, 36 produk mengandungi racun berjadual, 89 kosmetik tidak bernotifikasi, 636 cecair vape, 2 peranti digital dan 1 bahan mentah.

“Kalau dilihat dengan rampasan 1,299 barangan melibatkan nilai RM1.2 juta adalah angka yang besar dan perkara ini akan diambil tindakan lanjut,” katanya.

Kes disiasat di bawah Peraturan 7(1) (A) Peratusan 18(1) (A) Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Pada tahun lepas, sejumlah 77 premis diserbu dengan jumlah rampasan 1221 bahan melibatkan nilai keseluruhan lebih RM3 juta.

Menurut Dr Zaini, produk tidak berdaftar biasanya mendapat permintaan tinggi susulan kesan yang pantas dan mudah diperolehi.

Namun tegas Dr Zaini, ia membawa mudarat termasuk penyebab pelbagai penyakit berbahaya antaranya serangan jantung dan kegagalan buah pinggang sekiranya diambil tanpa nasihat pakar.