Rakyat Indonesia tidak lama lagi akan dapat menikmati produk pertanian Malaysia yang dibekalkan menerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Malaysia (FAMA).

Antara produk yang akan memasuki pasaran Indonesia ialah Teh Tarik 3 dalam 1, Madu Sri Kaya, Bijirin Oat 3 dalam 1, Kopi Putih dan Ginseng.

Produk-produk ini mendapat kelulusan pihak pengurusan ubat dan makanan Indonesia.

FAMA akan mengumpul produk pertanian itu, mentah dan diproses, daripada usahawan Bumiputera dan membekalkannya ke Indonesia menerusi MFSB Foodstuff Marketing.

MFSB Foodstuff baru-baru ini memeterai perjanjian persefahaman (MOU) dengan Winn Groups and Companies.

MOU itu ditandatangani pada 5 Dis, 2016 di Pavilion FAMA sewaktu berlangsungnya Ekspo Pameran Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang, Selangor.

Majlis itu disaksikan Datuk Wan Zulkefle Mohd Wan Ibrahim, Pengarah Urusan MFSB Foodstuff serta Mansor Omar, Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan FAMA dan Datuk Seri L. H Kenny, Pengerusi Winn Groups and Companies (syarikat Indonesia).

"Kita membuat perjanjian untuk bekerjasama memasarkan produk FAMA ke Indonesia," kata Wan Zulkefle kepada Bernama.

Perjanjian ini mengambil masa selama dua tahun bermula dari tarikh pemeterian MOU.

PEMASARAN KE INDONESIA

Pihak MFSB Foodstuff menjangkakan sebanyak RM30 juta jualan tahunan di Indonesia.

Ini berdasarkan hasil kajian empat tahun MFSB Foodstuff sebelum membuat perjanjian dengan Winn Groups and Companies.

"Harapan utama kita untuk mencapai sekurang-kurangnya 10 peratus penduduk Indonesia iaitu 28 juta daripada keseluruhan penduduk," kata Pengerusi Winn Groups, Indonesia, Datuk Seri L.H Kenny kepada BERNAMA.

Sebagai permulaan, pihak MFSB Foodstuff akan memasarkan barangan di bawah FAMA ke Jakarta kerana bandar itu mempunyai 17 juta penduduk.

Akhir Januari 2017, MFSB Foodstuff dijadual memasarkan sebanyak 15 produk di bawah jenama Agromas FAMA ke Indonesia.

FAMA dijangka menambah jumlah produk antara 60 hingga 70 produk akhir tahun 2017.

1MALAYSIA HALAL HOUSE

Sementara itu, Wan Zulkefle berkata pihaknya merancang membuka 1Malaysia Halal House di Jakarta, Indonesia sekitar Mei 2017.

Ia berfungsi sebagai tempat pengumpulan produk terbaik usahawan Bumiputera untuk dipasarkan ke seluruh Indonesia.

"Kita akan kumpulkan semua produk usahawan bumiputera yang mempunyai sijil Halal di 1Malaysia Halal House dan memasarkannya ke seluruh Indonesia, " tambahnya.

Sebelum ini, produk FAMA berjaya menembusi pasaran di China, Brunei, New Zealand, Dubai, dan Jepun.

MFSB melahirkan keyakinannya terhadap kemampuan Winn Groups kerana syarikat ini mempunyai pencapaian terbaik dan telah beroperasi lebih 30 tahun di Jakarta.

Syarikat itu juga mempunyai rangkaian pengedaran yang meluas di seluruh Indonesia iaitu di Surabaya dan Medan.

Ia juga merancang untuk membuka operasi di Bali.

Zulkefle berharap syarikatnya akan dapat membantu FAMA memperluaskan empayarnya. - BERNAMA