Tutup

Produk tradisional bayi mengandungi paras logam berat tinggi ditarik balik

Produk tradisional bayi mengandungi paras logam berat tinggi ditarik balik
Dr Noor Hisham berkata penarikan itu dibuat berikutan analisis terhadap sampel produk mendapati ia mengandungi paras logam berat merkuri dan kadmium melebihi paras yang dibenarkan. -Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) menarik balik produk tradisional berdaftar Kin Foong San (Medicinal Powder) 4gm bernombor kelompok VG05035 dari pasaran.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata penarikan itu dibuat berikutan analisis terhadap sampel produk mendapati ia mengandungi paras logam berat merkuri dan kadmium melebihi paras yang dibenarkan.
"Susulan itu, pihak syarikat memutuskan untuk memanggil balik kesemua kelompok lain produk itu dari pasaran yang digunakan secara tradisional untuk bayi dan kanak-kanak bagi melegakan demam, batuk, sakit gigi dan sakit perut ini secara sukarela untuk penyiasatan lanjut.

"Kelompok-kelompok yang terlibat ialah VG05036, VG05037, VG05038, VG05039, VG05040 dan VG05041," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dr Noor Hisham berkata pencemaran produk dengan kandungan merkuri dalam kuantiti berlebihan boleh menyebabkan kerosakan pada buah pinggang, gangguan pada sistem saraf dan perkembangan otak manakala produk yang tercemar dengan kandungan kadmium yang tinggi boleh memudaratkan terutama kepada buah pinggang dan tulang.

"Untuk itu, pengguna diminta agar segera menghentikan penggunaan produk Kin Foong San (Medicinal Powder) 4gm dengan nombor-nombor kelompok terlibat dan mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers," katanya.

Pengguna juga dinasihat memulangkan produk terlibat kepada penjual dan boleh menghubungi pihak syarikat di talian 03-6192 1888 atau email kepada vitagreen@gmail.com untuk pertanyaan.

Orang awam digalakkan menyemak status pendaftaran sesuatu produk melalui laman sesawang rasmi NPRA www.npra.gov.my atau melalui aplikasi 'NPRA Product Status' yang boleh dimuat turun daripada Google Play Store.