Pakar Ekonomi, Prof. Dr Jomo Kwame Sundaram tetap membantah pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang dibangkitkan semula sesetengah pihak terutama menjelang Belanjawan 2020.

Pada masa sama, beliau mencadangkan sistem sedia ada diganti dengan sistem percukaian pintar (smart taxation).

Bagaimanapun, Jomo mengakui, masa yang ada terlalu singkat untuk melaksanakan cadangan berkenaan.

“Saya tidak ada pandangan tentang soal ini. Saya terus membantah GST. SST (cukai jualan dan perkhidmatan) sendiri mempunyai banyak kekurangan dan patut diganti dengan satu sistem percukaian pintar (smart taxation).

“Namun, masa sudah suntuk. Jadi, saya rasa tidak ada gunanya kalau saya nak komen lebih daripada itu,” katanya semasa ditemui media selepas Syarahan Canselor Tuanku Mukhriz ke-4 di Dewan Canselor Tun Abdul Razak, di sini pada Rabu.

Menurut Jomo, pandangan beliau mengenai GST atau SST tidak pernah berubah kerana cukai berkenaan disifatkan tidak progresif.

“Pandangan saya mengenai perkara ini bukan lagi perkara baharu. Saya membantah GST dan juga SST adalah cukai penggunaan yang tidak progresif. Untuk mencipta cukai penggunaan yang progresif bukan mudah,” ujarnya lagi.

Jomo turut mengakui, banyak pihak termasuk pakar ekonomi mempunyai pandangan yang berbeza.

“Ada pihak yang mempunyai pelbagai pandangan mengenai perkara ini. Bukan sahaja di Malaysia, tapi di luar negara,” kata beliau.

Sebelum ini, Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) menyarankan kerajaan memperkenalkan semula GST pada kadar yang lebih rendah iaitu tiga peratus dalam Belanjawan 2020.