Pensyarah Undang-Undang Universiti Malaya, Prof Azmi Sharom hari ini memfailkan permohonan di Mahkamah Sesyen untuk mengkaji semula aspek perlembagaan berkaitan kesahihan Akta Hasutan 1948.

Peguamnya Gobind Singh Deo menyatakan Azmi turut memohon perintah agar pertuduhan yang dihadapinya digantung dan/atau dibatalkan, lapor Bernama.

Gobind menyatakan permohonan itu dibuat berdasarkan Akta Hasutan 1948 tidak digubal oleh Parlimen dan tidak seperti yang termaktub dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan bersuara.

Menurut Gobind lagi, Azmi turut memohon untuk memindahkan kes hasutan yang dihadapinya ke Mahkamah Tinggi.

Pada 2 September, Azmi ditahan di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 berhubung artikel beliau bertajuk "Take Perak crisis route for speedy end to Selangor impasse, Pakatan told" yang diterbitkan di sebuah portal berita.

Azmi dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM5,000.

Azmi Sharom
Azmi mendapat sokongan daripada pelajar-pelajar dan rakan sekerja di universiti - Gambar Fail Astro AWANI

Pada 10 September, lebih 500 pelajar dan pensyarah UM mengadakan protes aman di kampus universiti berkenaan sebagai tanda sokongan kepada Azmi.

Turut diadakan satu perarakan ‘Solidarity Walk for Dr Azmi Sharom’ dianjurkan oleh Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya dan Persatuan Kakitangan Akademik Universiti Malaya (PKAUM).

Juga dilaporkan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail berkata Jabatan Peguam Negara (AGC) sedang menyemak semula kes yang melibatkan Azmi dan kes-kes lain yang dituduh di bawah Akta Hasutan.

Beliau berkata keputusan muktamad akan diumumkan tidak lama lagi.