Astro berjaya mencipta rekod baru untuk pembersihan dasar laut paling lama dalam Guinness World Record apabila seramai 134 penyelam sukarelawan Astro Kasih berjaya menyempurnakan penyelam dalam pembersihan dasar laut selama 168 jam tanpa henti.

Ia bukan sahaja berjaya mencipta rekod pembersihan dasar laut paling lama malah berjaya mencapai objektifnya bagi mewujudkan kesedaran awam mengenai pemuliharaan marin.

Ciptaan rekod dunia itu diumumkan oleh pengadil Guinness World Records, Kirsty Bennett dalam satu sidang media khas.

Ia sekaligus melakar sejarah dunia buat Astro yang turut memainkan peranan aktif dalam usaha mengekalkan keindahan marin bagi generasi akan datang.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Astro, Datuk Rohana Rozhan, tujuan utama program diadakan adalah bagi meningkatkan kesedaran menjaga alam sekitar kepada umum.

“Ia merupakan sesuatu yang kami memperjuangkan demi mencetuskan kesedaran kepada umum yang harus dicetuskan terlebih dahulu. Sebenarnya perjuangan utama kami bukan lah sekadar membersihkan dasar laut namun mewujudkan kesedaran,” Kata Datuk Rohana Rozhan, Ketua Pegawai Eksekutif Astro.

Perjalanan sepanjang program itu menepati syarat Guiness World Record dan berjalan dengan lancar.

Sementara itu, Kirsty Bennett berkata, dia kagum dengan ketelitian yang ditonjolkan pihak pengurusan program.

“Apa yang saya dapat perhatian bahawa bagaimana program ini diuruskan dengan begitu teliti sekali, ia amat menakjubkan. Juga semua pihak termasuk penyelam, kapten bot yang bersemangat untuk mencipta rekod ini. Apa yang menjadikan lebih mudah bagi saya ialah kumpulan saksi yang menjadi mata dan telinga saya sepanjang cubaan ini,” kata Kirsty dengan teruja.

Susulan kejayaan cubaan berkenaan, Astro akan meneruskan program tanggungjawab sosial korporat dengan memberi penekanan kepada pemuliharaan marin.

Program Astro Kasih Beautiful Malaysia diadakan kali kedua di Sabah selepas kejayaan program Astro Kasih memindahkan 777 batu karang di Taman Marin Tun Sakaran di Semporna pada 2011.