Program Bank Makanan dapat mengurangkan beban keluarga yang hidup di bawah garis kemiskinan, kata Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah.

Menurut beliau, bantuan itu hanya permulaan sebelum cadangan pengendalian bengkel-bengkel bagi menggalakkan amalan pemakanan yang sihat kepada golongan sasar.

Jelasnya, ia sekali gus membantu meningkatkan situasi ekonomi keluarga berkenaan.

"Ini adalah satu cara kita boleh kurangkan beban mereka dan beri bantuan kepada mereka bukan secara tunai tetapi bagi mereka secara makanan dan harap mereka boleh bagi makanan kepada anak-anak dan sesiapa dalam keluarga," katanya semasa ditemui selepas pelancaran kali kedua program Bank Makanan di sini, pada Ahad.

Pada September lepas, kira-kira 20 keluarga kurang berkemampuan di Flat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang menerima bantuan makanan secara percuma, melalui Program Bank Makanan.

Program itu dibuat ekoran kajian ke atas komuniti terbabit mendapati 80 peratus kanak-kanak antara tujuh bulan dan 18 tahun, kurang berat badan serta tidak mempunyai perkembangan baik.

Dalam pada itu kata Maria, pihaknya menerima sebanyak 300 permohonan untuk menyertai program itu.

"Pada kali ini dan sebanyak 114 permohonan (iaitu melibatkan seramai 458 orang) telah diterima berdasarkan kriteria yang telah disediakan.

"Pendaftaran ini akan dibuka sekali lagi pada tahun hadapan bagi membolehkan penduduk yang lain mengambil bahagian dalam inisiatif ini.

"Proses bantuan ini lebih terbuka dan untuk memastikan makanan sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan bantuan makanan," ujarnya.

Penerima program itu dibahagikan kepada lima kategori iaitu keluarga yang melebihi lima orang tanggungan, keluarga yang berpendapatan kurang daripada garisan purata kemiskinan, pemohon atau tanggungan yang merupakan OKU.

Selain itu, penerima merupakan mereka yang menghidap penyakit kronik, pemohon merupakan ibu atau bapa tunggal dan warga emas yang tinggal berseorangan.