Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan program yang dilaksanakan kerajaan untuk kepentingan rakyat bukan bersifat 'syok sendiri'.

Beliau berkata kesemua program berkenaan dirasai rakyat pelbagai peringkat di bandar dan luar bandar.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata hasil pelaksanaan pembangunan pelbagai pengangkutan awam, seramai 1.2 juta rakyat di seluruh negara menikmati kemudahan berkenaan setiap hari termasuk 120,000 orang yang menggunakan projek terbaharu kerajaan iaitu MRT.

"Nelayan juga menerima RM300 setiap bulan, (bagi) BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia) tujuh juta rakyat menerimanya, dan ini semua memberi kesan positif kepada rakyat," katanya pada pada sesi dialog yang diadakan sempena pelancaran Laporan Tahunan Program Transformasi Negara (NTP) 2017 di sini, malam tadi.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan sama ada kerajaan 'syok sendiri' apabila banyak program yang dilaksanakan kononnya tidak dirasai oleh rakyat.

Sesi itu dikendalikan oleh Penasihat kepada Perdana Menteri untuk NTP Datuk Seri Idris Jala.

BACA: Kenaikan kos sara hidup bukan kerana GST - PM Najib