Kerajaan akan melancarkan program jelajah pendaftaran peringkat kebangsaan bagi menyelesaikan isu yang dihadapi masyarakat India negara ini berhubung dokumen pengenalan diri sebagai warganegara yang sah.

Presiden MIC, Datuk Seri Dr S.Subramaniam berkata, program yang akan bermula 3 hingga 26 Jun depan itu merupakan agenda utama sepertimana digariskan di bawah Pelan Tindakan Masyarakat India Malaysia (MIB) yang dilancar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bulan lepas.

Katanya yang juga Menteri Kesihatan, ia akan menjelajah ke 23 lokasi seluruh negara bermula di Selangor untuk memanggil mereka yang berdepan isu dalam permohonan kewarganegaraan, daftar lewat kelahiran dan permohonan kad pengenalan.

“Kebanyakan kes adalah isu dokumentasi yang tidak lengkap dan kesahihan dokumentasi. Contohnya tentang kelahiran. Mereka dakwa lahir di Malaysia tetapi tiada bukti daripada segi dokumen yang menunjukkan mereka lahir di sini.

“Jika mereka tiada dokumen, kita akan carikan rekod menurut informasi yang diberikan. Jadi sebenarnya kita akan menguruskan isu ini secara mikro,” katanya dalam sidang media khas sempena MIB di sini hari ini.

Ketika ini katanya wujud dakwaan mengatakan bahawa ada kira-kira 200,000 hingga 300,000 masyarakat India Malaysia yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

Namun sepanjang pelaksanaan program MyDaftar dari 2010 hingga 2016, direkodkan hanya 12,726 permohonan diterima, 7,126 daripadanya lulus, 626 ditolak sementara 4,974 lagi dalam pertimbangan.

“Kita nak tahu di mana mereka seperti yang didakwa, dan sebab itu kita mahu mereka yang berkenaan tampil dan selesaikan isu di bawah program ini,” tegasnya.

Program tersebut katanya akan didukung Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).