Kementerian Pembangunan Usahawan mengusulkan satu program khas bagi menjadikan Malaysia sebagai negara usahawan dalam usaha untuk meningkatkan peluang pekerjaan.

Menterinya Datuk Seri Mohd Ridzuan Md Yusof berkata cadangan itu dikemukakan pada mesyuarat khas Kabinet yang memfokuskan usaha mewujudkan peluang pekerjaan, yang diadakan sempena Hari Pekerja, pada Rabu.

"Tiada keputusan apa-apa dibuat dalam mesyuarat hari ini," katanya ketika ditemui pemberita selepas mesyuarat itu di luar perkarangan Bangunan Perdana Putra, di sini semalam.

Menurut Mohd Ridzuan, perbincangan pada mesyuarat lebih dua jam itu adalah perkara biasa antara menteri-menteri kabinet untuk menambah baik kaedah meningkatkan pembangunan ekonomi negara.

Katanya beliau akan membawa cadangan kementerian itu pada mesyuarat Kabinet akan datang untuk diluluskan secara rasmi.

"Ini (mesyuarat pada Rabu) langkah pertama yang kita bincangkan dengan pentadbir dan kementerian secara terbuka dalam satu mesyuarat tertutup," katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong pula berkata Kabinet membincangkan isu-isu yang diuar-uarkan oleh media termasuk mewujudkan peluang pekerjaan.

"Kita akan bincang dalam mesyuarat seterusnya. Kita mempunyai masa untuk bekerja ke arah menjayakan perkara-perkara yang telah dibincangkan," katanya.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Rina Mohd Harun pula berkata mesyuarat itu berlangsung dalam suasana santai dan antara perkara yang disentuh adalah berkaitan isu-isu rakyat.

Sementara itu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke secara ringkas turut mengesahkan mesyuarat berkenaan memberi tumpuan kepada usaha mencipta lebih banyak peluang pekerjaan.

-- BERNAMA