Kerajaan akan menambah jumlah kaunselor atau lay kaunselor terlatih kepada 10,000 orang menjelang tahun hadapan bagi membantu memberi perkhidmatan kaunseling kepada masyarakat.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail merangkap Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata jumlah berkenaan ditingkatkan kerana beliau bimbang dengan tahap masalah mental dalam negara.

“Pada tahun hadapan kita akan memperkasakan lagi program ini (lay kaunselor) untuk gandakan jumlah yang ada kini.

“Sesiapa yang ingin menjadi lay kaunselor perlu melalui ujian saringan dan pergi kursus selama tiga hari untuk mendapatkan sijil kelayakan,” jelasnya.

Beliau ditemui selepas menghadiri Karnival Aspek Wanita Pandan dan Program Back To School di Kampung Pandan Dalam hari ini.

Katanya, dengan kerjasama Lembaga Kaunselor Malaysia, jumlah lay kaunselor yang dilatih dalam program yang berkonsepkan sukarelawan sebelum ini adalah seramai 5,500 orang.

Peranan lay kaunselor adalah sebagai sistem sokongan sosial dalam komuniti amat diperlukan bagi menampung kekurangan kaunselor dalam negara, dipilih berdasarkan ujian saringan dengan tiga hari kursus beserta sijil.