Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan Perak menyiasat dan mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah 500 nelayan kecil di Kampung Sungai Tuntung, Panchor dan Pengkalan Bharu dekat Pantai Remis di sini yang terjejas mata pencarian mereka akibat pelaksanaan projek akuakultur di kawasan itu.

Presiden CAP S.M.Mohamed Idris dalam satu kenyataan juga meminta Jabatan Perhutanan Perak, dan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) daerah Manjung menyiasat masalah ini dan mendedahkan hasil siasatan yang dilakukan kepada umum khususnya masyarakat nelayan tempatan mengenai status hutan paya bakau yang terlibat dengan pelaksanaan projek akuakultur di kawasan ini.

"Di samping mengancam sumber perikanan dan pendapatan nelayan, projek ternakan udang dan ketam di sini juga telah memusnahkan ratusan hektar kawasan hutan bakau di tempat itu serta mencemarkan air sungai dan laut berhampiran oleh sisa buangan kolam.

"CAP difahamkan oleh nelayan-nelayan yang terlibat bahawa sebahagian dari kawasan hutan paya bakau yang telah dimusnahkan bagi tujuan tersebut adalah dalam kawasan hutan simpan kekal iaitu HSK Tanjung Burung, yang sepatutnya perlu dilindungi dan dipelihara. Namun apa yang sedang berlaku sekarang ialah khazanah alam semulajadi itu sedang dimusnahkan bagi pelaksanaan projek akuakultur," kata beliau.

Seorang nelayan Nordin Mohd Hasim, 42, berkata sejak projek akuakultur beroperasi di kawasan ini, hasil tangkapan ikan dan ketam mula berkurangan. dari pendapatan RM200 sehari kepada RM30. Tambah beliau, kadang-kadang mereka pulang dengan tangan kosong.

Alias Said, 61, pula memberitahu jika masalah ini tidak berlaku ia boleh memperolehi kira-kira 20kg ikan sembilang sehari tetapi sekarang hanya mendapat 5kg saja sehari.

CAP turut menggesa Jabatan Perikanan, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menyiasat masalah ini dan mengambil tindakan tegas bagi menangani masalah itu.