Projek pembinaan empangan hidro dwifungsi Ulu Padas dengan kos dianggarkan antara RM1.2 bilion hingga RM1.4 bilion dijangka dimulakan selewat-lewatnya Januari 2016, kata Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.

Beliau berkata projek hidro dwifungsi iaitu untuk menjana tenaga dan sebagai kemudahan mitigasi banjir mampu menjana tenaga sehingga 180MW dan pada masa yang sama berupaya mengurangkan risiko banjir di kawasan mudah banjir, khususnya di kawasan Beaufort.

Katanya projek yang dijangka mengambil masa antara lima hingga enam tahun untuk disiapkan itu merupakan projek perancangan jangka panjang bagi memenuhi keperluan tenaga di Sabah selepas tahun 2020.

"Satu syarikat gabungan atau 'joint venture' telah diluluskan untuk melaksanakan projek tersebut. Projek ini adalah dua fungsi, satu untuk menjana tenaga, juga untuk mitigasi banjir. Sebab itu ia adalah penting untuk dilaksanakan segera.

"Pihak Suruhanjaya Tenaga dan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air akan melaksanakan proses-proses yang perlu dan kita berharap dalam masa terdekat, seharusnya tidak lewat daripada Januari tahun depan, projek ini mulai dilaksanakan," katanya.

Ongkili berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis berbuka puasa Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) di sini malam tadi.

Pada majlis itu, beliau turut menyerahkan bantuan kepada anak-anak yatim daripada Persatuan Anak Yatim & Tahfiz Darul Yatama Yacob Khan, Beaufort.

Menurutnya syarikat gabungan yang dipertanggungjawabkan melaksanakan projek berkenaan mempunyai tempoh enam bulan untuk mengemas kini syarikat-syarikat rakan kongsi mereka dengan 60 peratus saham dimiliki pelabur swasta, Kerajaan Negeri Sabah (20 peratus) dan baki 20 peratus lagi untuk SESB dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Beliau yakin projek berkenaan berupaya membangunkan ekonomi Sabah selain membantu kontraktor Sabah kerana disyaratkan kontraktor utama projek itu perlu memberi keutamaan kepada kontraktor tempatan berkelayakan dan bertauliah khususnya dalam bidang elektrik dan kejuruteraan awam.

"Nanti apabila maklumat terperinci sudah selesai, kita akan maklumkan kepada awam," katanya.

Mengenai lokasi empangan berkenaan secara terperinci, Ongkili berkata ia merupakan kawasan terpencil yang tidak melibatkan tanah penduduk kerana terletak dalam kawasan konsesi Sabah Forest Industries (SFI).

Beliau yakin kerajaan negeri, sebagai pemegang saham dalam projek berkenaan, boleh menyelesaikan perkara berkaitan tanah mengikut tempoh masa yang ditetapkan.