Masalah hakisan pantai yang kritikal di kawasan pantai Kuala Nerus, dijangka akan dapat diatasi apabila projek kawalan hakisan, dijangka mula dilaksanakan tahun hadapan.

Timbalan Pengarah Bahagian Projek Khas Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia, Mat Supri Kasar berkata kerajaan pusat telah meluluskan RM90 juta, bagi kos projek kawalan hakisan pantai di daerah itu, yang tergolong dalam kawasan kritikal.

"Untuk kawalan hakisan pantai sebenarnya ada dua projek yang telah diluluskan. Satunya program kawalan pantai pelbagai negeri, yang mana diperuntukkan sebanyak RM10 juta untuk hakisan di Pantai Mengabang Telipot.

"Tetapi yang memang khas untuk Kuala Nerus, ialah projek kawalan pantai yang kosnya RM90 juta dan dalam peringkat reka bentuk iaitu meliputi kawasan Tok Jembal, Pantai Mengabang Telipot dan Pengkalan Maras, yang mana kawasan pantainya terhakis," katanya kepada pemberita selepas Sambutan Hari Keselamatan dan Kesihatan Vista Infinity Development Sdn Bhd, 450,000 Jam Tanpa Kemalangan Projek Pemuliharaan Muara Sungai Paka, di sini pada Selasa.

Turut hadir Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (JKKP) Terengganu, Ir Dasuki Mohd Heak.

Mengulas lanjut Mat Supri berkata selain projek di Kuala Nerus, kerajaan juga telah meluluskan tiga lagi projek sama iaitu di muara Sungai Besut, Sungai Setiu dan Sungai Mercang, Marang.

Menurut beliau projek pembangunan fizikal di muara Sungai Besut sedang dijalankan, manakala bagi Sungai Setiu dan Sungai Mercang, masih dalam proses menyiapkan reka bentuk.

"Projek JPS tak sama dengan pembinaan bangunan atau jalan raya, kerana ia memerlukan pengumpulan data yang banyak dan bergantung kepada keadaan sebenar di tapak, daripada segi jangkaan masa siap.

"Ada kalanya apabila kita buat model sebenar dan uji model tersebut, banyak modifikasi yang perlu dilakukan, dan sebab itu agak sukar untuk kita buat projek lebih cepat dari jangkaan masa yang dinyatakan," katanya.

-- BERNAMA