Tutup

Projek Komuniti Kita: Galakkan aktiviti seni di kawasan PPR - Khalid Samad

Projek Komuniti Kita: Galakkan aktiviti seni di kawasan PPR - Khalid Samad
Program yang dianjurkan sejak Jun lalu memfokuskan kepada lima PPR iaitu Seri Tioman; Batu Muda di Sentul; Putra Ria di Abdullah Hukum; Seri Selangor di Cheras dan Seri Hang Tuah di Bukit Bintang. - Gambar Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Usaha memperkasakan aktiviti seni dan budaya di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) dapat membantu mengurangkan aktiviti tidak sihat dalam kalangan penduduk di kawasan berkenaan.

Sehubungan itu, menurut Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad, syarikat besar, pemaju dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) perlu memainkan peranan dalam merealisasikan inisiatif tersebut.

Pada masa sama jelasnya, pembabitan penduduk dengan aktiviti yang berfaedah dapat membantu mengurangkan masalah jenayah di kawasan PPR.

“Kita cuba untuk melibatkan sekali penduduk-penduduk untuk mendatangkan keceriaan dengan adanya pendedahan kesenian dan sebagainya supaya suasana di PPR itu tidak terlalu suram atau menyedihkan.
“Banyak masalah jenayah dan dadah berlaku jika (penduduk) PPR diabaikan, jadi kita tidak mahu itu berlaku.

“Kita mahu syarikat-syarikat besar, pemaju dan NGO kerap turun ke PPR dan memanfaatkan kemudahan yang ada dengan melibatkan penduduk,” katanya, di sini, pada Ahad.
Khalid berkata demikian ketika ditemui pada program Hari Seni di PPR Seri Tioman 1 di Gombak, di sini.

Mengulas lanjut, Khalid berkata, selain memberikan pendedahan kepada kebudayaan, beliau juga menggesa pihak swasta untuk menjalankan program membaiki kemudahan di kawasan tersebut.

“Saya juga meminta supaya pemaju-pemaju yang terlibat dalam program seperti PPR anak angkat, di mana setiap syarikat pemaju mengambil PPR sebagai anak angkat dan untuk tempoh setahun mereka menjalankan program-program untuk membaiki kemudahan-kemudahan,” katanya.

Antara persembahan kanak-kanak dari PPR Sri Gombak pada Hari Seni

Sementara itu, pengarah Festival Seni Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIAF), Datin Sunita Rajakumar berkata, penganjuran program tersebut memberi peluang kepada para peserta untuk mengetengahkan bakat masing-masing.

“Sebenarnya mereka juga mempunyai pendidikan yang baik, (namun) peluang untuk memasuki universiti agak sukar, untuk membayar pinjaman pelajaran dan mendapatkan pekerjaan.

“Apa yang kami cuba tunjukkan kepada meraka adalah terdapat peluang lain untuk mencari pekerjaan,” katanya.

Hari seni merupakan program anjuran KL DiverseCity bersempena Projek Komuniti Kita dan festival KLIAF kelima, dengan kerjasama Kementerian Wilayah Persekutuan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Yayasan Hasanah dan syarikat pemaju, Lendlease.

Program yang dianjurkan sejak Jun lalu memfokuskan kepada lima PPR iaitu Seri Tioman; Batu Muda di Sentul; Putra Ria di Abdullah Hukum; Seri Selangor di Cheras dan Seri Hang Tuah di Bukit Bintang.

Kanak-kanak turut didedahkan dengan pelbagai kemahiran termasuk melukis dan mencanting batik. Gambar KL DiverseCity

Menerusi penganjuran program tersebut, dianggarkan kira-kira 200 kanak-kanak dan remaja di lima PPR berkenaan terlibat dalam aktiviti kesenian yang diadakan pada setiap hujung minggu seperti kelas tarian, teater, mencanting batik dan pengucapan umum.




Tag: DBKL, Kuala Lumpur, Bukit Bintang, pendidikan, Kanak-kanak, Hari Seni PPR, Diversecity



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.