Projek pembangunan Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) dari Taiping, Perak ke Banting, Selangor sudah siap kira-kira 76 peratus secara keseluruhan setakat Jun lepas.

Timbalan Menteri Kerja Raya Mohd Anuar Mohd Tahir berkata pembinaan projek berkenaan melibatkan jajaran di negeri Perak setakat ini mencapai kemajuan sebanyak 73 peratus manakala di Selangor 75.4 peratus.

"Aktiviti pembinaan lebuh raya ini sedang giat dilaksanakan melibatkan kerja pembersihan tanah, penambakan tanah, pembinaan struktur jalan serta penurapan jalan," katanya pada sesi Pertanyaan-pertanyaan bagi Jawab Lisan di persidangan Dewan Negara pada Selasa.

Beliau menjawab soalan Senator Dr Yaakob Sapari yang ingin tahu status terkini pelaksanaan kerja pembangunan WCE.

Mohd Anuar berkata kos pembinaan keseluruhan projek berkenaan sebanyak RM6.62 billion itu meliputi pakej penswastaan dengan nilai RM5.04 bilion dan RM1.58 bilion untuk pakej konvensional yang dilaksanakan Jabatan Kerja Raya.

-- BERNAMA