Semua projek mega yang dikaji semula oleh kerajaan tidak bermakna operasi mereka akan dibatalkan.

Menyatakan demikian, Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Abdullah berkata, ini termasuk projek Malaysia-China Kuantan Industrial Park (MCKIP) yang kini masih dikaji pelaksanaannya dengan teliti.

"Ini bagi memastikan projek-projek yang bakal diteruskan dapat mengikut undang-undang dan peraturan yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

"Selain projek-projek sedia ada yang berpotensi untuk diteruskan ini, terdapat banyak isu yang memerlukan beberapa penambahbaikan," katanya.

Beliau yang juga Anggota Parlimen Indera Mahkota menjelaskan demikian ketika ditemui pada Majlis Agihan Bubur Lambuk kepada orang ramai di Jalan Kuantan-Pelabuhan, di Kampung Balok, di sini, pada Ahad.

Katanya kajian semula semua projek mega ini juga bertujuan untuk memastikan keuntungan yang diperoleh akan diterima oleh negeri dan juga penduduk tempatan, selain daripada untuk menarik kemasukan pelabur.

"Kita juga ingin memastikan gaji minimum, kebajikan dan keselamatan pekerja terutamanya pekerja tempatan dijaga oleh syarikat," katanya.

Saifuddin mengulas tentang kebimbangan penduduk setempat tentang kajian semula beberapa projek mega di negeri yang dikhuatiri boleh menjejaskan peluang pekerjaan kepada rakyat.

-- BERNAMA