Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa hari ini merasmikan majlis pecah tanah naik taraf Hospital Tawau bernilai RM223 juta, di sini.

Projek naik taraf itu melibatkan pembinaan blok bangunan baharu di kawasan bekas tapak letak kereta hospital dan dijangka siap dalam tempoh tiga tahun iaitu menjelang Mei 2020.

Projek itu juga melibatkan penambahan 154 katil kepada 555 katil di wad yang sedia ada, klinik pakar, pembinaan enam dewan bedah, naik taraf Jabatan Kecemasan dan Trauma serta tambahan perkhidmatan baharu seperti endoskopi suite, aset MRI dan mesin mamogram.

Projek mega sektor kesihatan itu yang diluluskan bawah Rancangan Malaysia ke-11 tersebut turut menempatkan Unit Pendidikan Pesakit, perpustakaan, maklumat kemahiran, pusat kajian dan kualiti, serta auditorium dan bilik seminar yang masing-masing mampu menampung 250 dan 80 orang.

Ali ketika ditemui pemberita berkata projek naik taraf itu membuktikan harapan kerajaan supaya masyarakat di Tawau serta daerah sekitar dapat memanfaatkan perkhidmatan perawatan kesihatan yang lebih berkualiti, yang juga merupakan antara hospital kluster negara.

Mengenai kemudahan tempat letak kereta, Ali berkata pihak hospital dan Kementerian Kesihatan telah berbincang dengan Majlis Perbandaran Tawau dan terdapat 440 petak kereta berhampiran kawasan hospital disediakan untuk pengguna.

"Untuk jangka masa panjang, kami akan menyediakan tapak parkir kereta bertingkat yang turut dilengkapi dengan kemudahan lain termasuk restoran," katanya lagi.

Dalam pada itu, menurutnya Tawau akan menikmati pembangunan berterusan dengan beberapa projek baharu serta naik taraf untuk kesejahteraan rakyat.

"Antaranya kami akan naik taraf klinik perubatan di Merotai serta untuk penjawat awam di daerah ini kami akan mengadakan kemudahan seperti pembinaan kuarters," katanya.

Terdahulu ketika berucap, Ali berkata Malaysia perlu ada inovasi seiring dengan hasrat untuk mencapai status negara maju iaitu 20 teratas di dunia menjelang tahun 2050.

"Kita harus inovatif dan cepat daripada negara maju seperti pelaksanaan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dalam sektor kerajaan yang memberi pulangan terbaik kepada negara dan rakyat," katanya dan menambah pertumbuhan positif ekonomi negara penting untuk mencapai hasrat tersebut.

Ali berkata individu juga perlu mencari jalan untuk meningkatkan pendapatan dan bersama kerajaan membasmi kemiskinan.

"Rakyat perlu tahu apabila hasil negara meningkat sekali gus pendapatan negara turut meningkat dan peningkatan pertumbuhan itu perlu lebih tinggi daripada peningkatan inflasi," katanya.

-- BERNAMA