Dalam usaha membantu meringankan beban masyarakat dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Persatuan Projek Pensel Sri Aman (Projek Pensel) tampil menghulurkan bantuan kepada golongan memerlukan di kawasan pedalaman di daerah ini.

Setiausaha pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu, Yen Jebeni, berkata projek berkenaan meyasarkan penempatan atau rumah di kawasan pedalaman seperti di rumah-rumah panjang dan perkampungan terpencil.

Katanya, setakat ini, sebanyak 70 keluarga telah dibantu melalui projek berkenaan.

“Dalam masa sekarang, kita faham kesusahan yang terpaksa mereka hadapi kerana agak sukar untuk mereka mendapatkan bekalan makanan.

“Saya mewakili Projek Pensel merayu agar pihak lain yang sudi menghulurkan bantuan berganding bahu bersama kami menyumbangkan dana bagi meneruskan program bantuan sebegini,” katanya.

Bantuan diagihkan buat penerima menerusi Projek Pensel

Penerima, Said Amit, berkata penduduk amat menghargai bantuan itu kerana mereka sukar mendapatkan bekalan keperluan harian disebabkan lokasi yang jauh dari pekan atau bandar.

"Sumbangan yang disalurkan kepada kami dapat membantu meringankan beban kami dalam tempoh PKP," katanya kepada AWANI Sarawak.

Sementara itu, bantuan seperti ini akan diteruskan Projek Pensel melalui fasa kedua di kawasan-kawasan pedalaman lain sepanjang tempoh PKP.

Sebelum ini Projek Pensel turut menghulurkan bantuan kepada petugas barisan hadapan iaitu pasukan di Ibu Pejabat Polis Daerah Sri Aman bagi menunjukkan penghargaan buat mereka yang berjuang menentang COVID-19.

Sementara itu di Limbang, Pejabat Kebajikan Masyarakat (PKM) Limbang turut menyalurkan bantuan bekalan makanan serta minuman kepada penduduk yang terjejas di kawasan itu termasuk di pusat kuarantin.

Pegawai Kebajikan Masyarakat Limbang, Wan Muhammad Hasif Wan Jamari, berkata mereka turut menyediakan tempat tinggal sementara buat gelandangan selain perkhidmatan kaunseling.