Beberapa projek besar yang telah diluluskan di bawah Kerajaan Persekutuan di negeri ini akan dikaji semula pelaksanaannya.

Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu berkata antara yang sedang dikaji adalah beberapa projek di Bagan Datuk bernilai RM6 bilion secara keseluruhannya.

"Makluman yang diterima daripada Kerajaan Persekutuan, beberapa projek besar yang diluluskan di Perak akan dikaji semula, contohnya yang diumumkan pentadbiran terdahulu di Bagan Datuk.

"Saya masih lagi belum mendapat makluman lanjut mengenai perkara itu atau projek-projek besar yang lain," katanya pada sidang media selepas mengadakan kunjungan ke rumah anak yatim Kampung Sungai Rokam di sini pada Rabu.

Turut hadir dalam program berkenaan ialah Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Alam Sekitar, Sains dan Teknologi Aziz Bari.

Tambah beliau, bagi projek-projek di bawah kerajaan negeri yang telah melebihi 20 peratus pembinaan, ia berkemungkinan besar akan diteruskan.

"Setakat ini di Perak, semuanya berjalan lancar dan tiada masalah, cuma mungkin projek besar di Bagan Datuk itu sahaja," ujar beliau.

Bagan Datuk diiktiraf sebagai daerah baharu ke-12 di Perak pada 9 Januari 2017. Sejak ia menjadi daerah baharu, pelbagai projek telah diumumkan oleh kerajaan terdahulu membabitkan kos berbilion ringgit.

Mantan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi merupakan Ahli Parlimen Bagan Datuk.