Kerajaan negeri Johor mahu Projek Sistem Transit Rapid (RTS), yang menghubungkan Woodland, Singapura ke Bukit Chagar, Johor Bahru, dimulakan segera berikutan jajaran dan reka bentuknya sudah diperkenankan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata perkenan daripada Sultan Ibrahim harus menjadi asas kepada Malaysia dan Singapura untuk berbincang selepas mempunyai kepastian terhadap projek terbabit.

"Kita mengalu-alukan. Maknanya, apabila sudah ada kepastian mengenai jajaran dan reka bentuk, ia patut menjadi asas kepada kedua-dua negara untuk bincang.

"Kerajaan negeri mahu projek RTS itu dilaksanakan segera kerana ia boleh membantu mengurangkan kesesakan di Tambak Johor. Saya difahamkan sekali RTS lalu, ia boleh membawa beberapa ribu penumpang. Jadi, Johor Bahru memang memerlukan ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pecah tanah Sekolah Agama Kerajaan Negeri Johor di Sekolah Kebangsaan Taman Bukit Dahlia, Pasir Gudang dekat sini, hari ini.

Mohamed Khaled mengulas kenyataan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) semalam bahawa Sultan Ibrahim sudahpun memberi perkenan bagi pembinaan jajaran jambatan Projek Sistem Transit Rapid (RTS) setinggi 25 meter yang akan merentasi Selat Johor secara lurus menghubungkan Woodland ke Bukit Chagar.

Baginda memberi perkenan itu ketika menerima menghadap Ketua Pegawai Eksekutif SPAD Mohd Azharuddin Mat Sah bersama-sama pegawai-pegawai kanannya di Istana Bukit Pelangi di sini, pada Rabu.

Sebelum ini, Sultan Ibrahim dilaporkan tidak bersetuju dengan cadangan reka bentuk landasan RTS yang melengkung selain jambatannya yang mungkin mencapai ketinggian 30 meter di bahagian tengahnya.

Justeru itu, baginda meminta agar reka bentuk itu dikaji semula dan mengambil kira penjajaran yang lurus.

Pembinaan RTS dicadangkan pada Mei 2010 sebagai alternatif kepada 80,000 hingga 100,000 pengguna Tambak Johor setiap hari.

Apabila siap, RTS mampu menampung pergerakan sehingga 10,000 penumpang setiap jam antara dua stesen di Woodlands dan Bukit Chagar.

--BERNAMA