Sekumpulan saintis sedang mencuba untuk membuat pemetaan seluruh permukaan laut dalam usaha merungkai misteri lokasi penerbangan Malaysia Airlines MH370.

Mereka berhasrat untuk menggunakan teknologi tercanggih untuk menjelajah setiap pelosok lautan di dunia menjelang tahun 2030, menurut laporan New York Post baru-baru ini.

Selain mencari bangkai-bangkai pesawat dan kapal yang hilang, saintis dalam projek 'Seabed 2030' ini juga berharap untuk membuat penemuan baharu seperti gunung-gunung yang tersorok di dasar lautan yang boleh membahayakan pergerakan kapal-kapal selam.

Menurut salah seorang ahli kumpulan Seabed 2030, Geoffroy Lamarche, "Jika anda pergi ke lautan dalam (deep sea), anda sebenarnya boleh terlepas seluruh gunung."

Seperti mana yang kita ketahui, 71 peratus permukaan Bumi diliputi air. Namun setakat ini, hanya 18 peratus sahaja lantai lautan berjaya dipetakan.

Ini bermaksud kita mengetahui lebih tentang landskap planet lain daripada kedalaman lautan di bumi sendiri.

Projek Seabed 2030 itu turut berhasrat untuk mengemas kini sistem peta yang sedia ada.

Menurut Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UN), peta yang komprehensif mampu membantu di dalam meningkatkan usaha global bagi memerangi pencemaran dan meramal bencana alam seperti tsunami.

Ia juga boleh membantu dalam operasi mencari dan menyelamat, jika ada tragedi seakan MH370 berulang.

Pasukan Seabed 2030 menyatakan bahawa mereka akan meminta bantuan nelayan, saintis dan syarikat pengangkutan laut bagi menjayakan projek ini.