Sehari selepas mendapat kebenaran kerajaan negeri Selangor untuk melaksanakan Projek Langat Dua, Kerajaan Persekutuan mengumumkan akan melaksanakan projek Terowong Air Mentah Pahang - Selangor, hari ini.

Melalui projek itu sebuah terowong air sepanjang 44.6 km akan diwujudkan menyambungkan sumber air di Pahang dan Hulu Langat di Selangor.

Perkara terbabit disahkan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau Dan Air melalui satu jemputan media yang diedarkan pada petang Rabu.

Walau bagaimanapun maklumat mengenai lokasi sumber air di Pahang masih belum dapat dipastikan.

Majlis pelancaran projek berkenaan dijadual diadakan pada pagi Khamis.

Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Selangor pada Rabu mencapai kata sepakat untuk menyelesaikan masalah air di Selangor.

Melalui persetujuan itu, Kerajaan Negeri Selangor melalui kumpulan Darul Ehsan Sdn. Bhd dibenarkan mengambil alih empat syarikat konsesi air negeri itu melibatkan pampasan RM9.65 bilion.

Persetujuan itu juga membolehkan Selangor menstruktur semula industri bekalan air di negeri paling maju itu.