Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming mencadangkan supaya Seksyen 5(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dipinda bagi menambah baik prosedur pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM pada masa akan datang.

Ketika mencadangkan agar pindaan itu dibuat pada sidang Dewan Rakyat akan datang, Nga berkata ketika ini seksyen berkenaan memperuntukkan kuasa kepada Perdana Menteri untuk melantik mana-mana individu menerajui agensi penguatkuasaan itu.

"Pindaan itu perlu memasukkan klausa supaya sebelum pelantikan dibuat (individu yang dilantik) perlu dirujuk terlebih dahulu kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk Pelantikan Jawatan Awam Utama.

"Oleh itu, proses pelantikan pada masa akan datang ialah (nama) individu yang dicadangkan oleh perdana menteri, diserahkan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk diperhalusi latar belakangnya kemudian perdana menteri membuat penilaian terakhir sebelum dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk lantikan," katanya.

Nga yang juga Anggota Parlimen Teluk Intan berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung Kesatuan Pembantu Tadbir (Pendidikan) Semenanjung Malaysia cawangan Hilir Perak kali ke-21 di sini, pada Isnin.

Pada 4 Jun lalu, Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan mengumumkan pelantikan peguam Latheefa Beebi Koya sebagai ketua pesuruhjaya SPRM berkuatkuasa 1 Jun.

Latheefa mengambil alih daripada Datuk Seri Mohd Shukri Abdull yang memohon untuk memendekkan kontrak perkhidmatan yang sepatutnya berakhir pada 17 Mei tahun depan.

-- BERNAMA