Proses bedah siasat terhadap mayat lelaki warga Korea Utara yang mati Isnin lepas dilaporkan selesai petang tadi.

Ketua Polis Daerah Sepang, ACP Abdul Aziz Ali ketika ditemui pemberita di Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN), Hospital Kuala Lumpur kira-kira 7.50 malam tadi mengesahkan perkara itu.

Difahamkan, proses bedah siasat mayat Kim Chol yang dilaporkan sebagai abang pemimpin Korea Utara itu selesai pada 7.30 malam.

Bagaimanapun Abdul Aziz enggan mengulas lanjut mengenai punca kematian serta bila mayat itu akan dituntut dari hospital berkenaan.

Empat kereta milik Kedutaan Korea Utara di Malaysia turut kelihatan meninggalkan IPFN pada 8 malam ini.

Kira-kira 50 wartawan tempatan dan asing mula berkumpul di perkarangan unit forensik itu sejak pukul 9 pagi tadi untuk mendapatkan laporan lanjut berhubung kes itu.

Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata seorang lelaki Korea Utara cuba mendapatkan bantuan di kaunter khidmat pelanggan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2.

Maklumat pada pasportnya menunjukkan Kim Chol dilahirkan di Pyongyang pada 10 Jun, 1970.

Media asing melaporkan Kim Chol sebenarnya ialah Kim Jong-nam, abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un.

Kim Chol dilaporkan meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital. - Bernama