Proses perceraian pasangan secara 'fast track' atau segera oleh Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS) bukan menggalakkan keruntuhan rumah tangga tetapi bertujuan mengurangkan lambakan kes tertunggak.

Ketua Hakim Syarie Selangor, Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, sejak diperkenal pada Januari lalu secara percubaan dan dilancarkan secara rasmi pada Julai, ia telah menyelesaian 861 kes perceraian sehingga hari ini.

Sebagai pelopor kepada gerak kerja mempercepat tempoh penyelesaian kes perceraian di negara ini, Mohd Na'im berkata proses tersebut juga telah mengurangkan lambakan kes tertunggak sehingga lebih 40 peratus.

"Proses perceraian bukan dibuat secara suka-suka kerana ia adalah langkah terakhir kedua-dua pasangan untuk membubar perkahwinan mereka namun mesti atas persetujuan bersama.

"Menerusi proses fast track ini, kita bantu mereka supaya cepat selesaikan perceraian daripada 90 hari kepada hanya enam jam bagi memudahkan kedua-dua pihak menjalani hidup masing-masing," katanya kepada pemberita.

Mohd Na'im mengakui lambakan kes perceraian tertunggak di Selangor adalah antara yang tertinggi di negara ini dan perkara itu berlaku disebabkan pelbagai faktor antaranya kesukaran pihak pendakwaan mengesan pihak ketiga yang terlibat dalam kes berkenaan selain kurangnya persefahaman antara kedua-dua pasangan.

Jelas beliau, stigma masyarakat yang melihat kes perceraian pasangan Islam biasanya sukar diselesaikan dalam tempoh singkat sehingga berlaku lambakan seharusnya dikikis kerana JAKESS sentiasa menambah baik proses penyelesaian bagi kesenangan semua pihak.

"Masyarakat perlu memahami bahawa JAKESS dan jabatan kehakiman syariah lain bukan tertumpu semata-mata pada penyelesaian kes perceraian dan kekeluargaan namun kes-kes jenayah syariah juga mesti diberi perhatian khusus," katanya.

Katanya setakat ini, JAKESS mempunyai 26 hakim Mahkamah Rendah manakala empat bagi Mahkamah Tinggi dan bagi kes-kes rayuan dibantu hakim dari Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia.

Mohd Na'im turut menyatakan misi serta visi utama yang dirancang JAKESS untuk dicapai sepanjang tahun 2016 antaranya memantapkan penguatkuasaan pelaksanaan perintah nafkah dan memperkukuh kerjasama dengan agensi atau badan budan kerajaan berkaitan kekeluargaan.

Beliau berkata langkah itu adalah bagi membuka ruang dalam penyaluran maklumat secara lebih terperinci khusus kepada golongan isteri dalam mengetahui hak mereka sekiranya berlaku perceraian.