Kapal layar mewah Equanimity telah selesai dijual dan diserahkan kepada syarikat Genting Malaysia Bhd dengan harga RM523 juta (USD126 juta) pada 23 April lepas.

Peguam Negara Tommy Thomas dalam satu kenyataan berkata, bil jualan telah ditandatangani pada 24 April lepas oleh Syerif Mahkamah Admiralti dan diserahkan kepada anak syarikat Genting Malaysia Bhd pada 25 April.

“Kos menahan dan menyelenggara kapal besar itu adalah sekurang-kurangnya RM15.5 juta (USD3.75), namun jumlah ini bukanlah muktamad.

“Kami yakin bahawa perbelanjaan-perbelanjaan yang masih belum dibayar jumlahnya adalah jauh lebih kecil,” jelasnya dalam kenyataan tersebut.

Dalam pada itu kata Tommy, kira-kira RM407,000.00 telah dibelanjakan untuk caj-caj berlabuh, dari Ogos sehingga November 2018, semasa Equanimity berlabuh di Boustead Cruise Centre, Pelabuhan Klang, sebelum kapal tersebut dialihkan ke Pangkalan Tentera Laut di Langkawi.

“Kos segala operasi penyelenggaraan Equanimity, termasuk yuran agensi, gaji anak kapal dan insurans mencecah RM12.7 juta sepanjang ia ditahan selama sembilan bulan.

“RM400,000 pula telah dibelanjakan untuk pentaksiran nilai kapal tersebut, dan RM1.3 juta, RM360,000 serta RM40,000 telah dibelanjakan bagi yuran guaman,” katanya.

Kapal Equanimity adalah kapal milik ahli perniagaan Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low dan merupakan salah satu aset berkaitan skandal 1MDB yang telah dirampas oleh kerajaan.

Kapal layar besar itu telah dibeli oleh Jho Low dengan harga RM1.4 juta (USD250 juta), dipercayai dengan dana berkaitan 1MDB.

Tommy pada April lalu berkata, penjualan kapal itu dibuat selepas Mahkamah Admiralti Kuala Lumpur memberi kelulusan untuk menerima tawaran membeli Equanimity daripada Genting atas Terma-terma dan Syarat-syarat Syerif.

Susulan pengumuman itu, Low membidas tindakan kerajaan Malaysia itu, mendakwa ia dengan 'sengaja' menjual kapal mewah Equanimity pada harga rendah.