Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menggesa kerajaan agar proses keadilan membabitkan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) perlu diteruskan hingga ke penghujung.

Menerusi kenyataan bersama, PH bagaimanapun tetap tidak bersetuju dengan tawaran Goldman Sachs untuk memulangkan RM7.46 bilion kerana jumlah tuntutan adalah RM31.97 bilion.

"Majlis Presiden PH mengambil maklum pemulangan RM16.6 bilion dalam penyelesaian di antara Kerajaan Malaysia dan syarikat tersebut berkait salah laku dan penyelewengan dalam kes 1MDB.

Ini menjadikan keseluruhan wang rakyat yang telah dipulangkan ini berjumlah RM19 bilion

"Ini menjadikan keseluruhan wang rakyat yang telah dipulangkan ini berjumlah RM19 bilion," kata kenyataan itu.

Kenyataan tersebut dikeluarkan oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Tambah kenyataan itu, proses pemulangan wang berkenaan sebenarnya hanya bermula selepas PH menang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

"Majlis Presiden PH mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam usaha ini termasuk Peguam Negara pada ketika itu yang telah memulakan proses perundangan demi mendapatkan keadilan buat rakyat Malaysia," kata kenyataan itu.

Dalam pada itu, PH menegaskan bahawa semua watak utama dalam kes berkenaan mesti diadili di mahkamah termasuk individu yang dinamakan oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ) dan Low Taek Jho atau Jho Low yang sehingga kini belum ditahan.