Proses mengenalpasti 44 barang kemas yang dianggarkan berharga AS$14.79 juta (RM60 juta) yang didakwa dikirimkan oleh sebuah firma Lubnan kepada isteri bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak, Datin Seri Rosmah Mansor kini masih sedang dijalankan.

Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, pihaknya kini sedang mengumpul maklumat dan keterangan dari semua pihak termasuk pihak lain yang menuntut barangan kemas terbabit.

Jelasnya lagi, pihak yang menuntut kena membuktikan tuntutan mereka itu, kerana barangan yang dirampas menjadi barang bukti penting di mahkamah nanti.


“Proses (kenal pasti) sedang berjalan pada ketika ini kita sedang mengumpulkan maklumat semua pihak, ada yang mendakwa mereka ada hak keatas barang tersebut jadi kalau mereka berhak, mereka kena buktikan.

“Kita kena ingat bahawa barang ini kita proses dalam AMLA (Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001). Kita ada tempoh setahun untuk menjalankan siasatan. Kalau mereka tidak dapat buktikan, kita akan ada keperluan untuk jalankan siasatan terhadap semua yang terlibat, bukan saja Datin Seri (Rosmah Mansor), termasuk pihak dari Lubnan, mereka perlu buktikan kepada kita. Perlu diambil keterangan,” dalam sidang media selepas perhimpunan bulanan peringkat Bukit Aman, di sini pagi tadi.

Pada Mei lalu, polis menyerbu dan merampas wang tunai dan barangan kemas dari dua unit kondominium mewah yang dikaitkan dengan Najib di Pavilion Residences di Kuala Lumpur.

Susulan itu pada 26 Jun lepas, Global Royalty memfailkan saman terhadap Rosmah bagi menuntut beliau memulangkan kembali 44 barangan kemas yang didakwa dihantar kepadanya untuk dipilih atau membayar harga barang kemas berkenaan berjumlah US$14.79 juta atau hampir RM60 juta.