Pembukaan sekolah untuk pelajar peperiksaan bermula 24 Jun 2020 ini sememangnya akan mendorong pergerakan guru dari Semenanjung untuk kembali ke Sarawak.

Namun begitu, para guru perlu menjalani kuarantin wajib 14 hari dari tarikh ketibaan sebelum boleh kembali ke sekolah.

Situasi ini merisaukan beberapa guru kerana ada antara mungkin tidak sempat melapor diri pada tarikh yang ditetapkan kerana sedang menjalani kuarantin.

Justeru, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas menjelaskan setakat ini proses kuarantin sedang berjalan dengan lancar dan para guru akan kembali bertugas tanpa sebarang masalah.

“Jumlah pelajar peperiksaan di seluruh Sarawak tidaklah begitu ramai, sehingga kini 50 orang guru telah pun tiba dan proses sedang berjalan mengikut perancangan dan saya yakin mereka akan datang tepat pada waktunya," kata Uggah pada sidang media harian pada Rabu di Kuching.

Selain itu, Uggah turut mengumumkan tempoh maksimum setiap pelanggan di salon kecantikan dipanjangkan kepada 1 jam 30 minit.

Ia adalah sebagai respons kepada keluhan orang ramai yang memerlukan masa lebih panjang untuk setiap perkhidmatan yang diperlukan.

Dalam perkembangan lain, Uggah memberitahu kerajaan negeri melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak akan memastikan produk daging mentah yang masuk ke Sarawak adalah selamat dan melalui syarikat yang berlesen.

“Saya telah mengarahkan jabatan veterinar untuk terlebih dahulu mengenal pasti tempat penyimpanan sejuk yang mengimport bukan hanya Salmon, semua produk lain ke Sarawak," katanya.

Sementara itu jelasnya, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) juga terlibat dalam memastikan produk sayur-sayuran yang diimport dari luar negara adalah selamat sebelum sampai kepada pengguna.