Proses penamaan calon bagi pilihan raya kecil PRK Dun Rantau berlangsung sejak 9 pagi tadi di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan © Bandar Sri Sendayan di sini berlansung dengan lancar setakat ini.

Setakat 9.30 pagi terdapat empat calon yang telah menyerahkan borang pencalonan yang termasuk seorang calon Pakatan Harapan (PH), seorang calon Barisan Nasional (BN) serta dua calon Bebas.

Proses penyerahan borang pencalonan tersebut ditutup pada pukul 10 pagi.


Calon BN, Datuk Seri Mohamad Hasan merupakan antara calon yang pertama menyerahkan borang pencalonan pada jam 9.05 pagi.


Ia diikuti oleh penyerahan borang oleh calon PH, Dr. S. Streram yang selesai kira-kira jam 9.11 pagi.


Turut menyerahkan borang pencalonan bagi PRK Rantau adalah dua calon bebas.


PRK DUN Rantau diadakan susulan keputusan Mahkamah Persekutuan untuk menolak petisyen difailkan Mohamad untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban, pada 16 Nov lepas, yang mengisytiharkan kemenangan beliau bagi kerusi DUN itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), terbatal dan tidak sah.


Dalam PRU14, Mohamad diisytiharkan menang tanpa bertanding bagi kerusi itu selepas Dr Streram, seorang pakar bius yang menjadi calon harapan Pakatan Harapan (PH), dilarang memasuki pusat penamaan calon untuk menyerahkan borang pencalonannya kerana tertinggal pas yang dikeluarkan SPR.

Hari pengundian akan diadakan pada 13 April manakala pengundian awal pula pada 9 April.

Kawasan DUN Rantau mempunyai 29,926 pengundi berdaftar, yang terdiri daripada 20,804 pengundi biasa, 118 pengundi awal dan empat pengundi tidak hadir.

BACA: Proses penamaan calon PRK Rantau berlangsung hari ini